KIEV, 4 Mei - Sekurang-kurangnya 11 orang, termasuk dua kanak-kanak cedera akibat serangan dron Rusia ke atas Kiev, pada malam Sabtu.
Beberapa kediaman penduduk di seluruh ibu kota Ukraine juga dilaporkan musnah terbakar akibat daripada serangan itu, menurut tentera dan pegawai tempatan pada Ahad.
Perkhidmatan Kecemasan Negara Ukraine memaklumkan anggota bomba bergegas ke tempat kejadian bagi memadamkan api besar dari bangunan yang terbakar.
"Seramai 76 anggota bomba terlibat dalam usaha memadam kebakaran yang berlaku sepanjang malam di Kiev, termasuk satu kebakaran kecil di daerah pusat Shevchenkivskyi. Beberapa buah kereta di sekitar bandar turut terbakar akibat serpihan dron yang jatuh," menurut Perkhidmatan kecemasan Ukraine menerusi aplikasi Telegram.
Setakat ini tiada maklumat terperinci mengenai skala penuh serangan tersebut.
Amaran serangan udara dikeluarkan selama kira-kira satu jam, di Kiev dan wilayah sekitarnya serta bahagian timur Ukrainem bermula sejurus selepas tengah malam waktu tempatan. - REUTERS