SEOUL, 28 April - Seorang pelajar menikam tiga individu dalam satu serangan bersenjata di sebuah sekolah menengah di Korea Selatan pada pagi Isnin dan mencederakan dua yang lain, menurut polis.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.36 pagi di sebuah sekolah di Cheongju, kira-kira 110 kilometer di selatan Seoul.
Polis menerima laporan bahawa "seorang pelajar telah menikam seseorang dalam sebuah bilik darjah dengan pisau," menurut kenyataan Agensi Polis Wilayah Chungbuk kepada media.
Tiga individu cedera parah, termasuk pengetua sekolah mengalami luka tikaman di bahagian perut dan seorang kakitangan kerajaan ditikam di dada.
Dua orang lagi mengalami kecederaan ringan, kata polis.
Pelajar tersebut cuba melarikan diri ke sebuah taman berdekatan tasik dan terjun ke dalam tasik, namun berjaya ditahan hanya 12 minit selepas laporan pertama dibuat, menurut polis Cheongju.
Remaja berusia 18 tahun itu dibawa ke hospital kerana mengalami kecederaan ringan.
"Kami sedang cuba mencari butiran kejadian dan motifnya," kata seorang pegawai polis tempatan kepada AFP.
Kes itu berlaku hanya beberapa bulan selepas seorang guru menikam mati seorang murid berusia lapan tahun di sebuah sekolah rendah di Korea Selatan.
Namun begitu, Korea Selatan secara umumnya merupakan negara yang sangat selamat, dengan kadar pembunuhan sebanyak 1.3 bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun 2021, menurut statistik rasmi, jauh di bawah purata global iaitu enam kematian akibat pembunuhan bagi setiap 100,000 penduduk. - AFP