fb fb fb fb fb

China, Filipina berebut kawasan terumbu karang Laut China Selatan

Pengawal Pantai Filipina dan Biro Perikanan dan Sumber Akuatik (PCG/BFAR) menunjukkan saintis Filipina memeriksa terumbu karang di Sandy Cay/ AFP

MANILA, 28 April- China dan Filipina cuba mempertahankan tuntutan masing-masing terhadap terumbu karang yang dipertikaikan di Laut China Selatan.

Perkara itu selepas Manila menuduh Beijing cuba "menakut-nakutkan dan mengganggu" lokasi berkenaan dengan laporan media kerajaan yang mencadangkan agar kawasan itu dirampas.

Terumbu karang Sandy Cay terletak berhampiran Pulau Thitu, atau Pag-asa lokasi Filipina menempatkan tentera dan mengekalkan pangkalan pemantauan pengawal pantai.

Penyiar negara China CCTV pada Sabtu melaporkan pengawal pantai negara itu "melaksanakan kawalan maritim" ke atas Tiexian Reef, sebahagian daripada Sandy Cay, pada pertengahan April.

Filipina dan China terlibat dalam konfrontasi berhubung Laut China Selatan susulan Beijing mendakwa hampir keseluruhan kawasan itu miliknya walaupun terdapat keputusan antarabangsa bahawa dakwaan tersebut tidak mempunyai asas undang-undang.

"Tiada kebenaran sama sekali untuk dakwaan Pengawal Pantai China bahawa (Sandy Cay) dirampas.

"Tindakan berkenaan disifatkan sebagai kepentingan Republik Rakyat China selain memanfaatkan ruang maklumat untuk menakut-nakutkan dan mengganggu," kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara Jonathan Malaya dalam sidang media pada Isnin.

Bagaimanapun Kementerian Luar Beijing pada Isnin mengulangi bahawa kawasan terumbu karang itu adalah sebahagian daripada wilayah China.

Beijing dan Manila sering menuding jari antara satu sama lain berikutan kemerosotan ekologi yang dipertikaikan di Laut China Selatan.

Tentera Amerika Syarikat dan Filipina kini sedang menjalankan latihan bersama yang disifatkan Beijing sebagai ancaman kepada kestabilan serantau.

Kapal perang China dikesan di perairan Filipina sejak latihan "Balikatan" dua hala itu dimulakan minggu lalu.

Sementara itu kapal pengangkut pesawat Shandong dilaporkan berada dalam jarak 2.23 batu nautika (kira-kira empat kilometer) dari utara Pulau Babuyan.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI