THE HAGUE, 28 April- Pegawai tertinggi Palestin Ammar Hijazi memaklumkan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bahawa Israel sengaja menyekat bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza.
Israel bagaimanapun menolak perbicaraan dengan mengatakan ia sebagai "sebahagian daripada penganiayaan sistematik dan delegitimisasi" ke atas rejim Zionis itu.
Namun ICJ sedang mendengar berpuluh-puluh negara dan organisasi termasuk nasihat mengenai isu kemanusiaan di Palestin. Ia susulan lebih daripada 50 hari selepas sekatan bantuan memasuki Gaza.
Hijazi memberitahu hakim bahawa "semua kedai roti yang disokong Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Gaza turut dipaksa menutup perniagaan.
"Sembilan daripada setiap 10 rakyat Palestin tidak mempunyai akses kepada air minuman yang selamat. Kemudahan penyimpanan PBB dan agensi antarabangsa lain kosong. Ini adalah fakta. Kebuluran di sini (Palestin). Bantuan kemanusiaan digunakan sebagai senjata perang," katanya lagi.
Setiausaha Agung Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Pelarian Palestin (UNRWA) Philippe Lazzarini menggesa Israel untuk "memudahkan penghantaran bantuan termasuk melalui UNRWA -- kepada penduduk Palestin."
Menurut Kementerian Kesihatan sekurang-kurangnya 52,243 individu di Gaza terbunuh sejak Oktober 2023, kebanyakannya orang awam.
Sementara itu Duta Palestin ke PBB Riyad Mansour memberitahu wartawan bahawa rakyat Palestin mahu undang-undang antarabangsa tegas dan adil dikenakan terhadap Israel.
"Kami yakin bahawa selepas tragedi kejam ke atas rakyat kami, terutamanya di Gaza membuka mata dunia. Semoga keadilan memihak ke Palestin."- AFP