GAZA, 28 April- Sekurang-kurangnya 16 individu lagi terbunuh di seluruh wilayah Palestin berikutan serangan Israel, lapor Agensi Pertahanan Awam Gaza.
Israel terus menyambung semula kempen ketenteraannya di Gaza pada 18 Mac. Perjanjian gencatan senjata yang sebahagian besarnya menghentikan pertempuran selama dua bulan sebelum itu gagal dicapai.
Agensi pertahanan awam Gaza memaklumkan lapan individu terbunuh dalam serangan Israel ke atas rumah keluarga Abu Mahadi di Jabalia, di utara wilayah itu.
"Mereka sedang tidur di kediaman mereka, berasa selamat namun peluru berpandu disasarkan tanpa peri kemanusiaan.
"Kejadian ini membuatkan saya sedih, kerana serangan itu juga mengorbankan adik saya. Saya percaya ramai individu yang akan melihat kekejaman yang dilakukan.
"Seperti yang anda lihat, itulah kenyataan sebenar. Kanak-kanak, wanita dan lelaki tua disiksa tanpa belas kasihan, namun apa yang boleh kita lakukan?," kata Abdul Majeed Abu Mahadi, 67.
Sementara itu serangan Israel ke atas rumah keluarga Al-Agha di kawasan Khan Yunis di selatan membunuh lima lagi individu.
Dua yang terbunuh dalam kejadian di kem Al-Shafii, barat Khan Yunis itu dihempap sebuah khemah yang melindungi individu yang kehilangan tempat tinggal.
Seorang lagi terbunuh apabila serangan udara Israel menyasarkan kawasan bulatan Abu Mazen di barat Bandar Gaza.
Kementerian kesihatan di Gaza memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya 2,222 individu terbunuh sejak Israel meneruskan serangan, sekali gus menjadikan jumlah kematian keseluruhan sejak Israel menyerang Palestin ialah, 52,314.- AFP