PARIS, 29 April- Amnesty International kesal tindakan rejim Zionis Israel melakukan "genosid" terhadap rakyat Palestin di Gaza dengan memindahkan sebahagian besar penduduk secara paksa dan mencetuskan isu kemanusiaan.
Menerusi laporan tahunannya, Amnesty mendakwa Israel bertindak dengan "niat khusus untuk memusnahkan rakyat Palestin di Gaza, sekali gus melakukan pembunuhan beramai-ramai."
Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan konflik itu tercetus selepas serangan maut dari Israel ke atas Palestin yang telah meragut 52,243 nyawa dan angka itu dijangka akan terus bertambah. Perkara itu susulan Israel terus melancarkan serangan ke atas Palestin.
"Sejak 7 Oktober 2023 dunia menyaksikan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin yang disiarkan secara langsung.
“Banyak negara seolah-olah tidak berdaya, ketika Israel membunuh beribu-ribu rakyat Palestin, memusnahkan kediaman, penduduk kehilangan kerja selain fasiliti kesihatan dan pendidikan turut terjejas," kata Setiausaha Agung Amnesty Agnes Callamard.
Serangan kejam rejim Zionis itu telah menyebabkan kebanyakan rakyat Palestin di Gaza "terus menderita, kehilangan tempat tinggal, kelaparan, berisiko mendapat penyakit yang mengancam nyawa dan tidak dapat menerima rawatan perubatan, bekalan elektrik atau air bersih".
Sepanjang tahun 2024 Amnesty telah "mendokumentasikan pelbagai jenayah perang ke atas Palestin termasuk serangan langsung ke atas orang awam dan bangunan."
Kira-kira 1.9 juta penduduk Palestin, sekitar 90 peratus dipindahkan secara paksa dan Israel mengambil peluang itu dengan "melakukan serangan dan pembunuhan berterusan."
Walaupun penunjuk perasaan di negara barat mempamerkan solidariti ke atas Gaza namun "kerajaan dunia berulang kali gagal mengenakan tindakan berat ke atas kekejaman yang dilakukan Israel, meskipun gencatan senjata diadakan."
Sementara itu, Amnesty juga mengulangi tuduhan bahawa Israel menggunakan sistem "aparteid" di wilayah Palestin.
"Sistem aparteid Israel menjadi semakin ganas di Tebing Barat dengan peningkatan mendadak dalam pembunuhan yang menyalahi undang-undang," katanya.
Heba Morayef, Pengarah Amnesty untuk rantau Asia Barat dan Afrika Utara, mengecam " tindakan Israel dan menyifatkan penderitaan melampau terpaksa ditanggung oleh rakyat Palestin di Gaza setiap hari."- AFP