CAPE CANAVERAL, 29 April- Amazon melancarkan kumpulan pertama satelit internet Project Kuiper dalam usaha untuk menyaingi Starlink Elon Musk.
Misi Kuiper Atlas 1, berlepas dari Stesen Angkatan Angkasa Cape Canaveral di Florida pada pukul 7.00 malam waktu tempatan menggunakan roket Atlas V United Launch Alliance (ULA) yang akan membawa 27 satelit ke orbit.
Percubaan sebelum ini pada awal bulan ditangguhkan susulan keadaan cuaca buruk.
Project Kuiper, yang diasaskan oleh Jeff Bezos, sedang mengejar Starlink -- rangkaian satelit internet SpaceX yang luas dan memberikan pengaruh geopolitik ketara kepada Musk.
Inisiatif AS$10 bilion itu merancang untuk menggunakan 3,200 satelit ke orbit Bumi yang rendah -- kawasan angkasa lepas hingga 1,200 batu (1,900 kilometer) di atas planet.
Harga staelit berkenaan belum didedahkan, tetapi Amazon berjanji ia akan sejajar dengan reputasinya sebagai peruncit kos rendah.
"Atlas V sedang dalam perjalanan ke orbit untuk mengambil 27 satelit Kuiper dan memulakan era baharu dalam sambungan internet," kata Caleb Weiss dari ULA.
Dengan pelancaran pada Isnin, Amazon secara rasmi memasuki bidang internet satelit yang sedang berkembang pesat.
SpaceX melancarkan kumpulan pertama satelit Starlink pada 2019 dan kini mempunyai lebih daripada 6,750 unit operasi, memberi perkhidmatan kepada lebih lima juta pelanggan di seluruh dunia.
Starlink juga menyediakan akses internet penting di zon bencana dan perang, termasuk Maghribi selepas gempa bumi dahsyat pada 2023 dan di barisan hadapan dalam perang Ukraine menentang Rusia.
Amazon jjuga merancang untuk mempercepatkan pelancaran dalam beberapa bulan dan tahun akan datang.
Dianggarakan lebih 80 penerbangan ditempah melalui United Launch Alliance (usaha sama Boeing-Lockheed Martin), Arianespace Perancis, Blue Origin Bezos sendiri, dan juga SpaceX Musk.
Bagaimanapun peranan syarikat swasta yang semakin meluas di angkasa mencetuskan kebimbangan kesesakan di kawasan orbit. Perkara itu dikhuatiri akan menyebabkan perlanggaran satelit dan gangguan kepada pemerhatian astronomi.- AFP