fb fb fb fb fb

Empat kanak-kanak maut dirempuh kenderaan di pusat jagaan Illinois

Foto AFP

WASHINGTON, 29 April- Empat kanak-kanak berusia antara empat hingga 18 tahun maut selepas sebuah kenderaan merempuh sebuah bangunan yang menempatkan kem program selepas sekolah di negeri Illinois, Amerika Syarikat (AS).

Menurut kenyataan polis negeri Illinois, beberapa individu lain turut cedera dan telah dihantar ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, pemandu kenderaan terbabit tidak mengalami kecederaan namun dibawa ke hospital untuk penilaian lanjut.

"Setakat ini, kami mengesahkan empat kematian melibatkan individu berusia antara 4 hingga 18 tahun. Tiga mangsa dilanggar di luar bangunan manakala seorang lagi di dalam bangunan.

Beberapa individu tambahan telah dipindahkan ke hospital tempatan melalui ambulans dan satu kes menggunakan helikopter perubatan," menurut kenyataan tersebut.

Insiden itu berlaku sekitar pukul 3.20 petang waktu tempatan di Chatham, sebuah bandar kecil terletak kira-kira 16 kilometer di selatan ibu negeri Springfield.

Gabenor Illinois, JB Pritzker menerusi kenyataan di platform X, melahirkan rasa sedih dan terkejut atas kejadian tragis tersebut.

"Pada pagi ini, ibu bapa telah mengucapkan selamat tinggal kepada anak-anak mereka tanpa mengetahui itu adalah kali terakhir. Hati saya berat memikirkan keluarga-keluarga ini yang sedang mengalami kedukaan tidak terbayang, sesuatu yang tidak sepatutnya dialami oleh mana-mana ibu bapa," katanya.

Pusat jagaan tersebut, YNOT After School Camp, menerusi laman sesawang mereka memaklumkan bahawa mereka menyediakan aktiviti luar untuk kanak-kanak.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM