NEW YORK, 28 April- Gergasi teknologi IBM mengumumkan rancangan untuk melabur AS$150 bilion di Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh lima tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif IBM Arvind Krishna dalam satu kenyataan memaklumkan ia termasuk AS$30 bilion yang diperuntukkan untuk penyelidikan dan pembangunan bagi memperkukuh pembuatan kerangka utama dan komputer kuantum.
"Teknologi bukan sahaja membina masa depan - ia mentakrifkannya," menurut kenyataan itu.
Pelaburan itu susulan Presiden AS Donald Trump memberi tekanan kepada syarikat untuk melabur di negara itu bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan IBM sebagai "pusat pengkomputeran dan keupayaan kecerdasan buatan (AI) paling maju di dunia," tambah Krishna.
Gergasi korporat termasuk Apple, Nvidia dan Hyundai telah mengumumkan rancangan perbelanjaan utama di AS sejak Trump kembali ke White House pada Januari.
Trump awal bulan ini mendedahkan gelombang kenaikan tarif yang tidak pernah berlaku dalam usaha memfokuskan penghasilan produk dalam negara berbanding penghasilan di negara luar.
Namun beliau telah menangguhkan kebanyakan tarif, kerana kebimbangan semakin meningkat dalam kalangan negara terlibat sekali gus memberi kesan ke atas ekonomi AS, walaupun levi besar-besaran kekal ke atas China.
IBM dalam kenyataan itu turut menegaskan "komitmen tidak berbelah bahagi kepada masa depan inovasi Amerika, mencipta peluang ekonomi baharu di AS dan seluruh dunia."- AFP