fb fb fb fb fb

Perbincangan damai Afghanistan-Pakistan gagal, gencatan senjata kekal

Foto REUTERS

KABUL, 8 November – Perbincangan damai antara Afghanistan dan Pakistan gagal mencapai kata sepakat, namun gencatan senjata antara kedua-dua negara diteruskan, menurut jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid.

Mujahid berkata rundingan itu gagal kerana Islamabad menuntut agar Afghanistan menanggung keselamatan dalaman Pakistan, satu tuntutan yang dianggap melebihi kapasiti Afghanistan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tiada pelanggaran gencatan senjata dari pihak Taliban.

Pada Jumaat, Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Muhammad Asif mengesahkan kegagalan rundingan di Istanbul yang bertujuan mencegah pertembungan semula di sempadan, namun menambah gencatan senjata akan terus dipegang selagi tiada serangan dari Afghanistan.

Tentera kedua-dua negara berbalas tembakan secara singkat pada Khamis, pada hari yang sama rundingan damai bersambung.

Pertempuran bulan lalu mengorbankan puluhan nyawa, dalam kejadian keganasan terburuk sejak Taliban kembali berkuasa pada 2021.

Kedua-dua pihak sebelum ini menandatangani gencatan senjata di Doha pada Oktober, namun rundingan kedua di Istanbul berakhir tanpa perjanjian jangka panjang akibat pertikaian mengenai kumpulan pejuang yang beroperasi di Afghanistan dan bermusuhan dengan Pakistan. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN