fb fb fb fb fb

Jeneral Libya terbunuh dalam serangan di Tripoli

FOTO HIASAN

TRIPOLI, 28 April- Seorang jeneral Libya, Ali Ramadan al-Rayani, terbunuh dalam serangan di rumahnya di kawasan al-Khalla, pinggir ibu kota Tripoli pada Ahad.

Penyerang yang tidak dikenali melepaskan tembakan ke arah al-Rayani, yang dikenali sebagai seorang pegawai tentera.

Perdana Menteri Abdulhamid Dbeibah, ketua Kerajaan Kesatuan Nasional yang diiktiraf PBB, mengecam pembunuhan tersebut, menyatakan kesedihan mendalam atas kematian al-Rayani yang "syahid" ketika mempertahankan rumahnya dari sekumpulan penjenayah.

Pihak berkuasa masih belum memberikan sebarang komen mengenai motif serangan tersebut. Dbeibah mengarahkan Pejabat Pendakwa Tentera untuk melancarkan siasatan segera dan menyeluruh bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

Menurut laporan media Libya, Al-Wasat, saksi menyatakan bahawa al-Rayani sempat membunuh tiga daripada penyerangnya sebelum ditembak mati.

Libya berdepan kesulitan untuk pulih selepas konflik yang berlaku selepas pemberontakan 2011 yang menumbangkan pemimpin lama Muammar Gaddafi.

Negara itu kini terbelah antara kerajaan Dbeibah di barat dan pihak berkuasa saingan yang disokong oleh Khalifa Haftar di timur.

Pada bulan Mac, Menteri Urusan Kabinet Libya, Adel Juma, cedera dalam cubaan pembunuhan di Tripoli.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE