NIMES, 28 April- Seorang lelaki yang disyaki menikam seorang pemuda Mali hingga mati di sebuah masjid di selatan Perancis ditahan selepas menyerah diri kepada polis di Itali, kata pendakwa raya pada Isnin.
Pembunuhan Aboubakar Cisse pada Jumaat di sebuah kampung di wilayah Perancis mencetuskan kejutan di negara itu.
Perkara berkenaan turut mendorong Presiden Perancis Emmanuel Macron menyatakan bahawa tidak ada tempat untuk kebencian agama dalam masyarakat negara itu dan Perdana Menteri Perancis Francois Bayrou mengecam jenayah "Islamofobia".
Suspek merupakan warga Perancis yang dilahirkan di Lyon pada 2004 dan dinamakan sebagai Olivier A., "menyerahkan diri ke balai polis di Pistoia" dekat Florence di tengah Itali pada Ahad, kata Pendakwa Raya di Bandar Selatan Ales, Abdelkrim Grini.
Berikutan kejadian itu suspek melarikan diri selama tiga hari berikutan pembunuhan itu.
"Ini amat memuaskan hati saya sebagai pendakwa raya. Suspek tidak mempunyai pilihan selain menyerahkan diri -- dan itu adalah perkara terbaik yang boleh dilakukannya," kata Grini yang bertanggungjawab dalam kes itu.
Pada Jumaat, seorang pemuda Mali berusia 20-an ditikam suspek berpuluh-puluh kali dan kemudian merakam mangsa dengan telefon bimbit sambil menghina Islam.
Serangan di kampung La Grand-Combe di wilayah Gard adalah yang terbaru dalam siri pembunuhan di Perancis dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Perancis merupakan lokasi kepada komuniti Islam terbesar di Kesatuan Eropah (EU).
Namun waran tangkap Eropah akan dikeluarkan untuk pemindahan suspek ke Perancis, kata pendakwa raya.
Menurut pendakwa raya ia boleh mengambil masa "beberapa hari atau beberapa minggu".
Lebih 70 pegawai polis Perancis telah digerakkan sejak Jumaat untuk "mencari dan menangkap" pelaku, yang dianggap "berpotensi amat berbahaya", kata pendakwa raya.- AFP