fb fb fb fb fb

Serangan di pelabuhan Odessa musnahkan senjata dibekalkan Barat kepada Ukraine - Rusia

KIEV, 25 Julai- Rusia menyatakan, serangan peluru berpandu ke atas pusat pelabuhan Ukraine yang menjadi lokasi utama eksport bijirin telah memusnahkan simpanan senjata yang dibekalkan pihak Barat kepada Ukraine. Perkara itu dinyatakan selepas serangan itu telah mencetuskan bantahan dari sekutu Ukraine.  

Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov yang dalam lawatan ke beberapa negara Afrika berada di Mesir pada Ahad dalam usaha meyakinkan Kaherah bahawa bekalan bijirin dari Rusia tetap akan diteruskan.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mengecam serangan di pelabuhan Odessa pada Sabtu sebagai “tindakan Rusia yang tidak bertamadun” dan mengatakan ia tindakan terdesak selepas pihak yang bertelagah telah mencapai perjanjian untuk membenarkan eksport bijirin dari kemudahan tersebut.

“Malah penjajah (Rusia) mengakui bahawa kami akan menang. Kami mengetahui perkara itu dalam perbualan mereka (tentera Rusia) -- sepanjang masa, ketika mereka menghubungi orang tersayang," kata Zelensky pada Ahad.

Turkiye yang menjadi pihak perantara dalam perjanjian itu berkata sejurus dua peluru berpandu mengenai pelabuhan tersebut, Moscow menyatakan bahawa tenteranya tidak bertanggungjawab atas serangan tersebut.

Namun, Kementerian Pertahanan Rusia menarik balik kenyataan itu, mengatakan serangan tersebut telah memusnahkan kapal tentera Ukraine dan senjata yang dibekalkan Washington.

"Peluru berpandu jarak jauh berketepatan tinggi yang dilancarkan dari laut memusnahkan kapal perang Ukraine yang berlabuh dan simpanan peluru berpandu antikapal yang dihantar oleh Amerika Syarikat kepada rejim di Kiev," katanya.

“Loji pembaikan dan naik taraf tentera Ukraine juga dilaporkan telah rosak."


(Anggota bomba Ukraine sedang memadan kebakara di pelabuhan Odessa selepas dibedil

peluru berpandu Rusia pada 23 Julai lalu. Rusia mengatakan serangan itu telah memusnahkan
kapal tentera Ukraine dan bekalan senjata dari Amerika Syarikat/AFP)

Serangan itu telah menjejaskan usaha mencapai perjanjian penting yang ditandatangani di Istanbul; perjanjian yang memakan masa berbulan-bulan dalam usaha menyelesaikan krisis makanan global.

Ketua Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres yang mempengerusikan majlis menandatangani perjanjian itu pada Jumaat, "secara tegas" mengutuk serangan itu.

Amerika Syarikat pula menyifatkan serangan bakal "mewujudkan keraguan serius" akan komitmen Rusia terhadap perjanjian tersebut.

Negara-negara barat pula mengulangi kecaman mereka atas pencerobohan berterusan pihak Rusia ke atas Ukraine selepas serangan terbaharu itu.  

Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier menyebut pencerobohan itu sebagai perang menentang perpaduan di Eropah, katanya dalam ucapan pada Ahad. –AFP

Media Baharu