fb fb fb fb fb

Junta Myanmar hukum mati empat tahanan, pertama kali sejak 1988

(Kyaw Min Yu atau Jimmy (tengah)dan isterinya Lar Thein (kiri) ketika tiba
di lapangan terbang Yangon selepas dibebaskan pada 13 Januari 2012/Fail AFP)

YANGON, 25 Julai- Junta tentera Myanmar telah menjalankan hukuman mati ke atas empat banduan termasuk seorang bekas ahli parlimen dari parti bawah pentadbiran Aung San Suu Kyi dan seorang aktivis terkenal di negara itu.

Media kerajaan melaporkan, hukuman mati itu pertama kali dijalankan sejak beberapa dekad lalu.

Keempat-empat mereka yang dikenakan hukum mati itu didapati mengetuai “tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan,” lapor akhbar Global New Light of Myanmar.

Laporan itu menyebut hukuman mati dikenakan “mengikut prosedur penjara” tanpa menyatakan bila dan bagaimana bentuk hukuman dijalankan.

Pihak junta telah mengenakan hukuman mati ke atas berpuluh-puluh aktivis antirampasan kuasa sebagai tindak balas terhadap keganasan yang mereka cetus atau lakukan selepas tentera mengambil alih kuasa tahun lalu.

Bagaimanapun Myanmar tidak melaksanakan hukuman mati selama beberapa dekad.

Phyi Zeya Thaw, bekas ahli parlimen parti Suu Kyi, Liga Demokratik Kebangsaan (NLD) yang ditahan pada November lalu dan dijatuhi hukuman mati pada Januari bawah undang-undang antikeganasan.

Aktivitis demokrasi, Kyaw Min Yu – atau lebih dikenali sebagai “Jimmy turut dikenakan hukuman sama oleh tribunal tentera.

Dua lagi lelaki dijatuhi hukuman mati atas kesalahan membunuh dua wanita yang mereka dakwa sebagai pemberi maklumat kepada pihak junta di Yangon.



(Gambar aktivis demokrasi Kyaw Min Yu dan bekas ahli parlimen Maung Kyaw
yang dikeluarkan pihak junta pada 21 Januari 2022/AFP)

-KECAMAN DIPLOMATIK-

Bulan lepas pihak junta telah menerima kecaman keras kuasa dunia setelah mengumumkan hasrat untuk mengenakan hukuman mati.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mengecam keputusan junta itu, dan menyifatkan sebagai "satu pencabulan terang-terangan terhadap hak untuk hidup, kebebasan dan keselamatan seseorang".

Pakar hak asasi PBB berkata sekiranya hukuman mati diteruskan -- buat pertama kali sejak 1988, Myanmar memulakan semula siri hukuman gantung.

Pakar menyatakan bawah undang-undang junta, hukuman mati boleh dikenakan atas 23 “kesalahan tidak jelas namun ditakrifkan secara meluas” – atau secara praktik boleh termasuk sebarang kritikan terhadap tentera.  

Penganalisis Myanmar dari International Crisis Group (ICG) Richard Horsey menyebut menerusi Twitternya, hukuman mati itu adalah satu tindakan keterlaluan yang boleh mewujudkan gelombang baharu kejutan politik, pada masa ini dan akan datang.

Phyo Zeya Thaw dituduh mendalangi beberapa serangan ke atas rejim tentera, termasuk serangan bersenjata dalam komuter di Yangon pada Ogos tahun lalu yang mengorbankan lima anggota polis.

Tertuduh adalah perintis hip-hop di Myanmar dan terkenal dengan sajak subversif terhadap junta; dipenjarakan pada 2008 kerana menjadi ahli dalam pertubuhan haram dan turut dituduh memiliki mata wang asing.

Thaw dipilih sebagai ahli parlimen mewakili parti NLD pimpinan Aung San Suu Kyi pada pilihan raya 2015 yang membawa kepada peralihan pemerintahan awam.

Bagimanapun semasa pilihan raya 2020, pihak tentera mengatakan wujud penipuan pengundian setelah NLD sekali lagi menang dengan majoriti besar sehingga membawa kepada rampasan kuasa pada 1 Februari tahun lalu.

Sejak itu, Suu Kyi ditahan oleh pihak tentera dan dikenakan banyak pertuduhan di mahkamah tentera. Jika sabit kesalahan pemimpin demokrasi itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lebih 150 tahun. -AFP

Media Baharu