fb fb fb fb fb

Korea Utara tuduh AS bangunkan senjata biologi di Ukraine

(FOTO AFP)

SEOUL, 24 Julai- Korea Utara menuduh Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan senjata biologi di Ukraine, dakwaan serupa yang dikemukakan sekutunya, Rusia tetapi ditolak oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu pada Mac lepas.

Washington "menubuhkan banyak makmal biologi di berpuluh-puluh negara dan wilayah, termasuk Ukraine, tanpa menghiraukan perjanjian antarabangsa", lapor Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

Februari lalu, Pyongyang mendakwa bahawa dasar AS merupakan "punca utama krisis Ukraine", dan bulan ini secara rasmi mengiktiraf dua wilayah pemisah pro-Rusia di timur Ukraine.

Tindakan itu mendorong Kiev memutuskan hubungan diplomatik dengan Korea Utara.

Moscow pada Mac menuduh Washington membiayai penyelidikan dan pembangunan senjata biologi di Ukraine.

Washington dan Kiev bagaimanapun menafikan kewujudan makmal untuk menghasilkan senjata biologi di Ukraine, dengan Amerika Syarikat berkata dakwaan itu adalah petanda bahawa Moscow sendiri mungkin menggunakan taktik sedemikian.

Ketua Setiausaha Agung Hal Ehwal Perlucutan Senjata Pertubuhan Bangsa Bersatu, Izumi Nakamitsu pula memaklumkan bahawa PBB "tidak mengetahui sebarang program senjata biologi di Ukraine". -AFP

 (Izumi Nakamitsu/WIKIPEDIA)

Media Baharu