fb fb fb fb fb

Serangan di Niger barat bunuh 39 orang, termasuk kanak-kanak

FOTO FAIL

NIAMEY, 15 Disember- 39 orang terbunuh dalam dua serangan dalam beberapa hari kebelakangan ini di barat Niger, berhampiran sempadan dengan Burkina Faso, menurut kenyataan kementerian pertahanan Niamey pada Sabtu.

"Dua tragedi mengerikan berlaku di komuniti Libiri dan Kokorou, di mana penjenayah yang terdesak akibat operasi berterusan oleh pasukan pertahanan dan keselamatan melancarkan serangan terhadap penduduk awam yang tidak bersenjata," kata kementerian itu dalam kenyataan.

Dalam serangan kejam tersebut, 21 orang terbunuh di Libiri dan 18 di Kokorou, termasuk kanak-kanak, tambahnya.

Operasi itu berlaku antara 12 hingga 14 Disember, tetapi kenyataan tidak memperincikan tarikh serangan berlaku.

Kedua-dua komuniti itu terletak di kawasan sempadan Tera, yang menjadi tempat berkumpulnya militan dan telah menyaksikan serangan berdarah dalam beberapa hari terakhir.

Kawasan sempadan antara Niger, Mali, dan Burkina Faso telah lama menjadi tempat persembunyian militan yang dikaitkan dengan kumpulan IS dan Al-Qaeda, yang melancarkan pemberontakan terhadap kerajaan.

Dalam salah satu serangan terbaru, 21 orang awam terbunuh dalam serangan ke atas konvoi barang, menurut sumber tempatan kepada AFP pada 7 Disember.

Pada Rabu, BBC dan RFI melaporkan bahawa kumpulan pemberontak telah membunuh 90 askar dan lebih 40 orang awam di Chatoumane, Tera.

Bagaimanapun, junta Niger menafikan laporan serangan dan jumlah kematian itu sebagai "dakwaan tidak berasas" dan "kempen pengeliruan".

Walaupun AFP tidak dapat mengesahkan angka tersebut melalui sumber tempatan yang bebas, satu sumber keselamatan Barat memberitahu AFP bahawa antara 90 hingga 100 orang terkorban dalam serangan pada Selasa.

Kerajaan tentera Niger menggantung siaran radio BBC selama tiga bulan selepas laporan itu, sebagai sebahagian daripada tindakan terhadap media Barat yang dikenakan sekatan oleh junta sejak rampasan kuasa pada Julai 2023.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE