fb fb fb fb fb

IMF: Presiden baharu Ghana cadang semak semula perjanjian

Presiden Ghana, John Dramani Mahama / Foto REUTERS

ACCRA, 15 Disember- Presiden baharu Ghana, John Dramani Mahama, berkata bahawa beliau bercadang untuk menyemak semula perjanjian bernilai AS$3 bilion yang telah dimeterai dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebelum ini.

Jelasnya, penyemakan semula perjanjian itu penting bagi menambah baik sektor tenaga disamping menangani perbelanjaan kerajaan yang boros.

Mahama, bekas presiden yang kembali memenangi pilihan raya pada 7 Disember lalu dengan majoriti besar, berkata kepada Reuters pada Jumaat bahawa beliau juga akan berusaha menangani inflasi dan penyusutan nilai mata wang bagi mengurangkan krisis kos sara hidup di negara Afrika Barat itu.

Sebelum ini, Mahama pernah menyatakan hasrat untuk merundingkan semula program IMF yang telah diperoleh oleh Presiden sebelum ini, Nana Akufo pada 2023.

"Apabila saya bercakap tentang rundingan semula, saya tidak bermaksud kami akan membatalkan program itu," kata Mahama.

"Kami terikat dengannya, tetapi apa yang kami katakan ialah dalam program itu, harus ada ruang untuk membuat beberapa penyesuaian agar lebih realistik", tambahnya.

Presiden baharu bagi negara pengeluar koko kedua terbesar di dunia itu mewarisi sebuah negara yang sedang bangkit daripada krisis ekonomi terburuk dengan pergolakan dalam industri penting seperti koko dan emas.

Program IMF sebelum ini membantu Ghana mengurangkan kadar inflasi kepada separuh dan memulihkan pertumbuhan ekonomi.

Namun Mahama berkata lebih banyak usaha diperlukan untuk meringankan beban ekonomi rakyat.

"Keadaan ekonomi sangat genting, dan saya akan memberikan sepenuh jiwa, tenaga, dan usaha untuk menumpukan perhatian kepada memperbaiki kehidupan rakyat Ghana," kata Mahama.

Mahama turut menyatakan bahawa IMF telah bersetuju untuk menghantar misi awal bagi menjalankan semakan berkala.

Beliau menambah bahawa perbincangan akan memberi tumpuan kepada "cara melancarkan semula penstrukturan semula hutang" yang kini berada pada peringkat akhir.

Menurutnya, perjanjian IMF yang disemak semula akan turut mencari penyelesaian mampan bagi masalah tenaga bagi mengelakkan gangguan bekalan elektrik yang berpanjangan.

"Kami akan berdepan dengan situasi yang sangat kritikal dalam sektor tenaga. Syarikat Elektrik Ghana adalah 'orang sakit' dalam keseluruhan rantaian, dan kami perlu memperbaikinya dengan segera", tegas Mahama.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya Ghana mengisytiharkan Mahama, yang pernah memegang jawatan presiden dari 2012 hingga 2016, sebagai pemenang pilihan raya presiden dengan 56.55% undi.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD