fb fb fb fb fb

Rampasan kuasa: Bekas Menteri Pertahanan Brazil ditahan

Bekas calon Timbalan Presiden Brazil, Walter Braga Netto (Tengah) / Foto REUTERS

RIO DE JANEIRO, 14 Disember-Polis telah menahan bekas Menteri Pertahanan Brazil, Walter Braga Netto, pada Sabtu atas tuduhan campur tangan dalam siasatan terhadap rancangan rampasan kuasa tentera yang didakwa dirancang dan dibiayai oleh beliau.

Penahanan ini menambah satu lagi episod dalam politik yang menggoncang negara berkenaan.

Polis Persekutuan Brazil telah mengaitkan jeneral bersara itu dengan rancangan untuk membatalkan keputusan pilihan raya 2022, yang dimenangi tipis oleh Presiden Luiz Inacio Lula da Silva.

Braga Netto, yang juga pernah berkhidmat sebagai ketua kakitangan kepada bekas Presiden Jair Bolsonaro, selain calon Timbalan Presiden kepada Bolsonaro dalam usaha pemimpin sayap kanan itu untuk dipilih semula sebagai Presiden.

Braga Netto menafikan sebarang penglibatannya dalam konspirasi yang didakwa itu.

Peguamnya dalam satu kenyataan ringkas pada Sabtu berkata bahawa mereka akan membuktikan bahawa anak guam mereka tidak mengganggu siasatan.

Pada November lalu, polis persekutuan menuduh Braga Netto, Bolsonaro, beberapa pegawai kanan, dan bekas komander tentera merancang untuk menghalang Lula daripada mengambil alih jawatan, termasuk melalui rancangan untuk membunuhnya sejurus selepas pilihan raya.

Penahanan Braga Netto dibuat selepas penyiasat menemui bukti peranan lebih besar yang dimainkan oleh jeneral bersara itu dalam plot rampasan kuasa tersebut, menurut Hakim Mahkamah Agung Alexandre de Moraes, yang mengarahkan penahanan itu.

Polis persekutuan mendedahkan bahawa Braga Netto telah menganjurkan satu mesyuarat di kediamannya yang dikatakan mencetuskan rancangan untuk membunuh Lula dan Naib Presiden terpilihnya, Geraldo Alckmin. Beliau juga didakwa membiayai individu yang terlibat dalam plot itu.

Selain itu, Braga Netto turut dituduh cuba mencampuri siasatan polis dengan berusaha mendapatkan maklumat mengenai keterangan yang diberikan oleh Mauro Cid, seorang pembantu Bolsonaro yang kini bekerjasama dengan polis.

Dalam satu kenyataan, polis persekutuan memaklumkan bahawa dua waran geledah telah dikeluarkan berhubung dengan penahanan tersebut.

Penggeledahan dilakukan di kediaman Braga Netto di Rio de Janeiro dan rumah kolonel bersara Flavio Botelho Peregrino di Brasilia, menurut kenyataan tentera.

Braga Netto akan terus berada dalam tahanan tentera di Rio.

Menurut undang-undang tahun 1980, pegawai tentera hanya boleh ditahan oleh polis jika ditangkap semasa melakukan jenayah dan mesti diserahkan kepada pihak tentera selepas jenayah berkenaan didaftarkan.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD