fb fb fb fb fb

Pramugari 34 tahun dinobatkan sebagai Miss France tertua

FOTO AFP

PARIS, 15 Disember- Seorang pramugari berusia 34 tahun dari Martinique, Angelique Angarni-Filopon, mencipta sejarah apabila menjadi peserta tertua yang memenangi pertandingan Miss France pada Sabtu.

Kemenangan itu dicapai selepas perubahan peraturan yang membenarkan wanita berusia lebih 24 tahun, termasuk mereka yang sudah berkahwin atau mempunyai anak, untuk menyertai pertandingan tersebut.

"Pada tahun 2011, seorang wanita muda berusia 20 tahun menjadi naib juara pertama dalam pertandingan Miss Martinique. Hari ini, wanita muda yang sama, kini berusia 34 tahun, berdiri di hadapan anda untuk sekali lagi mewakili Martinique, diasporanya, serta semua wanita yang pernah diberitahu bahawa sudah terlambat," katanya selepas dinobatkan sebagai pemenang dalam acara yang disiarkan oleh TF1.

Sebanyak 30 peserta, termasuk doktor dan doktor gigi, mengambil bahagian dalam peringkat akhir. Mereka memperagakan pakaian renang, kostum serantau, dan gaun rasmi sambil diiringi pelbagai genre muzik seperti country, 90-an, salsa, dan Mozart.

Sebagai pemenang, Angarni-Filopon menerima gaji setahun daripada syarikat Miss France, sebuah apartmen di Paris, dan pelbagai lagi.

Kemenangan itu dilakar beberapa hari selepas pertandingan Miss Netherlands dibatalkan selepas 35 tahun.

Penganjur berkata mereka "berubah mengikut peredaran masa" dan akan menganjurkan platform untuk berkongsi kisah wanita berjaya serta yang berdepan isu seperti standard kecantikan yang tidak realistik.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE