fb fb fb fb fb

Pengasas Mango, Isak Andic meninggal dunia akibat jatuh tebing

FOTO AFP

MADRID, 15 Disember- Isak Andic, pengasas rangkaian fesyen global Mango, meninggal dunia pada Sabtu selepas terjatuh dari tebing di timur laut Sepanyol, menurut kenyataan syarikat.

Jutawan berusia 71 tahun itu dilaporkan tergelincir dan jatuh sejauh 150 meter ketika berjalan bersama isteri dan anaknya di gua Salitre de Collbato, berhampiran Barcelona, sekitar jam 1 petang waktu tempatan.

"Dengan penuh rasa dukacita, kami mengumumkan pemergian mengejut Isak Andic, pengerusi bukan eksekutif dan pengasas Mango, dalam satu kemalangan yang berlaku pada Sabtu ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif Mango, Toni Ruiz, dalam kenyataan.

Ruiz memuji dedikasi seumur hidup Andic terhadap Mango, mengatakan bahawa pemergiannya "meninggalkan kekosongan besar."

Dilahirkan di Istanbul, Andic berhijrah ke Sepanyol dari Turki pada usia 13 tahun. Beliau memulakan kerjayanya dengan menjual T-shirt kepada rakan sekolah sebelum membuka kedai Mango yang pertama di Barcelona pada tahun 1984.

Pada masa kematiannya, Forbes menganggarkan kekayaan bersih Andic bernilai AS$4.5 bilion.

Mango, yang beroperasi di lebih 120 negara, mencatatkan perolehan sebanyak AS$3.26 bilion pada tahun 2023.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE