fb fb fb fb fb

Seorang terbunuh, enam cedera dalam serangan udara di Ukraine

Paramedik dari organisasi Hospitallers Ukraine memeriksa anggota yang cedera dalam pertempuran di wilayah Donetsk/ AFP

KIEV, 24 September- Seorang lelaki terbunuh dan enam yang lain cedera, termasuk dua kanak-kanak disebabkan serangan udara "besar-besaran" Rusia ke atas bandar selatan Zaporizhzhia, Ukraine.

Ibu kota wilayah itu menjadi sasaran "serangan udara besar-besaran" dalam tempoh dua jam selepas pukul 9.00 malam waktu tempatan pada Isnin, kata perkhidmatan kecemasan negeri.

"Seorang lelaki maut dan enam orang lagi cedera termasuk seorang gadis berusia 13 tahun dan seorang budak lelaki berusia 15 tahun akibat serangan Rusia ke atas Zaporizhzhia," tulis Gabenor Zaporizhzhia Ivan Fedorov di Telegram.

Serangan udara dan dron telah membakar kemudahan infrastruktur serta bangunan kediaman, kata gabenor itu.

Sementara itu seorang pegawai perbandaran, Regina Kharchenko, menerusi aplikasi sama turut memaklumkan bahawa 74 blok rumah pangsa dan 24 rumah persendirian rosak di pelbagai daerah sekitar bandar itu.

Bagaimanapun tentera udara Ukraine berjaya menjatuhkan 66 dron serangan dan 13 lagi hilang daripada radar. Pertahanan udara Ukraine memaklumkan, Rusia telah melancarkan sejumlah 81 dron menyasarkan utara dan tengah Ukraine.

Rusia juga melancarkan empat peluru berpandu, kata tentera udara.

Di Paltova dron merosakkan infrastruktur tenaga yang menyebabkan perkhidmatan bekalan kepada 20 penempatan terputus, kata pihak berkuasa wilayah.

Manakala di Rusia, kementerian pertahanan telah menembak jatuh 13 dron Ukraine di kawasan sempadan.

Dua orang awam cedera akibat serangan Ukraine pada awal Selasa di bandar Gorlivka di bahagian yang diduduki Rusia di wilayah timur Donetsk, kata datuk bandar yang dilantik Rusia itu.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI