fb fb fb fb fb

Qatar Aiways gantung penerbangan ke Beirut susulan serangan ke atas Lubnan

Foto Fail: AFP

DOHA, 24 September- Syarikat penerbangan Qatar Airways dan flydubai menggantung penerbangan ke Beirut selama dua hari ketika ketegangan semakin meruncing antara Israel dan Hezbollah selepas serangan paling berdarah di Lubnan sejak 2006.

Qatar Airways, syarikat penerbangan kebangsaan yang mengendalikan dua penerbangan sehari ke ibu kota Lubnan, membatalkan perkhidmatan pada hari ini dan esok.

"Melihat kepada situasi yang berterusan di Lubnan, Qatar Airways telah menggantung buat sementara waktu penerbangan ulang-alik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Beirut Rafic Hariri sehingga 25 September.

"Keselamatan penumpang kami kekal sebagai keutamaan tertinggi kami ," menurut satu kenyataan syarikat negara Qatar.

Flydubai, syarikat penerbangan tambang murah yang juga anak syarikat kepada Emirates berpangkalan di Dubai, turut membatalkan penerbangan hariannya pada Selasa dan Rabu.

"Penerbangan flydubai antara Dubai International dan Lapangan Terbang Antarabangsa Beirut pada 24 dan 25 September telah dibatalkan berikutan perkembangan buat masa ini," kata jurucakap flydubai.

Israel mengumumkan pelancaran berpuluh-puluh serangan udara baharu ke atas kubu kuat Hezbollah pada Selasa selepas sekurang-kurangnya 492 orang terbunuh dalam pengeboman pada hari sebelumnya, menurut kementerian kesihatan Lubnan.

Serangan tindak balas rentas sempadan antara Israel dengan Hezbollah bermula Oktober lalu selepas Hamas dan kumpulan Palestin lain melancarkan serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Israel.

Sumber di syarikat penerbangan Lubnan Middle East Airlines memberitahu AFP penerbangannya habis ditempah selama beberapa hari.

"Penerbangan kami semuanya menerima tempahan berlebihan kerana pembatalan syarikat penerbangan lain," kata sumber itu, yang tidak dibenarkan bercakap dengan media, dengan syarat bahawa namanya tidak disiarkan.

"Tiada satu tempat duduk tersedia untuk mana-mana destinasi sebelum Ahad," menurutnya.

Syarikat penerbangan Lufthansa Jerman, Air France dan Delta Air Lines dari Amerika Syarikat turut menggantung penerbangan ke Beirut dalam tempoh beberapa hari lalu, dengan beberapa perkhidmatan syarikat penerbangan ke Israel dan Iran turut terjejas.

Minggu lalu, Qatar Airways mengumumkan larangan alat kelui dan walkie-talkie dalam penerbangan ke Beirut selepas letupan peranti komunikasi, yang dipersalahkan ke atas Israel telah membunuh 37 orang dan mencederakan ribuan lagi dalam tempoh dua hari.- AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI