BAALBEK, 11 Mac - Seorang terbunuh dalam serangan udara Israel di timur bandar Baalbek, Lubnan pada Isnin.
Serangan udara itu merupakan kali kedua dilancarkan Israel ke atas negara itu sejak permusuhan antara Israel-Lubnan bermula sejurus perang Gaza.
Sejak 8 Oktober, sekutu Hamas, Hizbullah dan musuh ketatnya, Israel, telah berbalas tembakan hampir setiap hari.
Serangan sebahagian besarnya masih terhad di kawasan sempadan, namun telah menghampiri kedudukan Hizbullah, jauh ke utara dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Serang tersebut juga dikhuatiri menimbulkan kebimbangan akan berlakunya konflik yang lebih besar di Asia Barat.
"Pesawat Israel menyasarkan bekas bangunan Hizbullah berhampiran Hospital Dar Al Amal" kata sumber keselamatan kepada AFP, sambil menambah bahawa Israel "menjalankan satu lagi serbuan ke atas gudang di barat Baalbek".
Serangan itu membunuh seorang dan mencederakan enam yang lain, tambahnya.
Gabenor wilayah Baalbek-Hermel Bachir Khodr berkata seorang lelaki telah terbunuh dalam serangan berhampiran Baalbek dalam satu catatan di X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter.
Seorang lagi pegawai keselamatan mengesahkan serangan itu, tanpa menyebut jumlah kematian.
Agensi Berita Nasional (NNA) milik kerajaan Lubnan melaporkan serangan udara Israel ke atas dua lokasi, termasuk serangan ke atas gudang.
NNA turut melaporkan serangan Israel menyasarkan bangunan kediaman di bandar Ansar,selatan Baalbek".
"Api dan kepulan asap boleh dilihat dari lokasi yang disasarkan," tambah NNA.
Kota Baalbek di lembah Bekaa adalah kubu Hizbullah, bersempadan dengan Syria.
Pada 26 Februari, serangan Israel menyasarkan Baalbek, kira-kira 100 kilometer (62 batu) dari sempadan dan membunuh dua anggota Hizbullah.
Hizbullah telah berulang kali mengatakan bahawa ia hanya akan menghentikan serangannya ke atas Israel sekiranya gencatan senjata di Gaza berjaya direalisasikan.
Tetapi Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant berkata baru-baru ini bahawa sebarang gencatan senjata di Gaza tidak akan mengubah matlamat Israel untuk mengusir Hizbullah keluar dari selatan Lubnan, dengan kekerasan atau diplomasi.
Sejak bermulanya perang Israel-Hamas pada Oktober sekurang-kurangnya 316 orang, pejuang Hizbullah, dan 53 orang awam telah terbunuh di Lubnan, menurut pengiraan AFP.-AFP