RIYADH, 11 Mac- Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdul Aziz dalam perutusan sempena Ramadan menggesa kepada komuniti antarabangsa agar segera menamatkan jenayah kejam yang berlaku di Gaza yang menyaksikan peperangan antara Israel dan Hamas yang telah meletus lebih daripada lima bulan.
Bercakap sebagai penjaga dua kota suci Islam, Raja Salman mengucapkan terima kasih terhadap berkat dan doa masyarakat terhadap Kerajaan Arab Saudi.
Namun, pada masa sama, Raja Salman berkata peperangan di Gaza akan membayangi kesucian bulan Ramadan.
"Ketika kita menyaksikan ketibaan Ramadan tahun ini, hati kita sarat dengan kesedihan atas penderitaan berterusan saudara-saudara kita Palestin yang menghadapi pencerobohan tanpa henti," katanya.
Gaza berada di tengah-tengah krisis kemanusiaan yang semakin meningkat selepas konflik berbulan-bulan yang berlaku antara Israel dan Hamas.
Kumpulan bantuan berkata hanya sebahagian kecil bekalan keperluan asas kemanusiaan telah dibenarkan masuk ke wilayah itu sejak Israel meletakkannya di bawah pengepungan.
Mahkamah Agung Arab Saudi pada Ahad lalu mengumumkan 11 Mac 2024 iaitu Isnin adalah sebagai tarikh permulaan puasa negara itu tahun ini.- AFP