fb fb fb fb fb

Seorang terbunuh dalam pertempuran pasukan keselamatan dan penganut Hindu di Bangladesh

Foto REUTERS

DHAKA, 27 November-Sekurang-kurangnya seorang terkorban di Bangladesh dalam pertempuran antara pasukan keselamatan dan penganut Hindu yang membantah penangkapan seorang pemimpin agama, menurut polis.

Chinmoy Krishna Das, seorang pemimpin Hindu yang dikaitkan dengan Persatuan Antarabangsa untuk Kesedaran Krishna (ISKCON), ditangkap di lapangan terbang Dhaka pada Isnin atas beberapa tuduhan, termasuk hasutan.

Penangkapannya mencetuskan protes oleh penyokongnya di Dhaka dan Chittagong.

Seorang peguam Muslim maut dalam protes di luar mahkamah Chittagong, menurut polis.

Kerajaan sementara Bangladesh telah mengarahkan siasatan terhadap insiden tersebut dan Ketua Penasihat Muhammad Yunus meminta pihak berkuasa keselamatan meningkatkan kawalan di bandar pelabuhan itu.

“Kerajaan sementara komited untuk memastikan dan memelihara keharmonian antara agama di Bangladesh walau apa pun kosnya,” menurut kenyataan kerajaan.

Chinmoy Krishna Das menghadapi tuduhan hasutan yang difailkan pada Oktober selepas mengetuai perhimpunan besar di Chittagong, menyaksikan beliau dituduh tidak menghormati bendera kebangsaan Bangladesh.

Beliau tidak diberi jaminan oleh mahkamah Chittagong pada Selasa.

ketika Das dibawa semula ke penjara dari mahkamah, lebih 2,000 penyokongnya mengepung van polis, menyebabkan gangguan selama lebih dua jam, menurut Pesuruhjaya Polis Metropolitan Chittagong, Hasib Aziz.

“Mereka mengamuk dan membaling batu-bata ke arah kami.

"Untuk menyuraikan orang ramai, kami terpaksa melepaskan gas pemedih mata. Tiada sesiapa yang cedera parah, tetapi seorang anggota kami cedera,” katanya.

Sementara itu, India menggesa agar keselamatan penganut Hindu dan minoriti lain di negara itu dijamin.

India turut mengecam penangkapan Das, menyatakan bahawa tindakan ke atas pelaku insiden vandalisme dan serangan terhadap minoriti, termasuk penghinaan ke atas dewa Hindu, masih tidak diambil.

“Adalah mengecewakan apabila pelaku insiden ini masih bebas, manakala tuduhan dikenakan terhadap seorang pemimpin agama yang hanya menyuarakan tuntutan sah melalui perhimpunan aman,” kata kenyataan Kementerian Luar India.

Kementerian Luar Bangladesh, dalam jawaban kepada India, menyatakan bahawa kerajaan tidak campur tangan dalam urusan kehakiman dan perkara itu ditangani oleh mahkamah.

“Kerajaan Bangladesh juga komited untuk mengekalkan keharmonian antara agama di negara ini,” tambah kenyataan tersebut.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD