WASHINGTON, 27 November - Israel dan Lubnan telah menerima perjanjian gencatan senjata untuk menamatkan pertempuran dengan Hizbullah.
Menurut Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden perjanjian akan berkuat kuasa mulai 4 pagi Rabu (waktu tempatan) selama 60 hari.
"Perjanjian dicapai untuk menghentikan permusuhan secara kekal,” kata Biden yang menyampaikan perkembangan terbaharu konflik itu di White House.
“Dalam tempoh 60 hari , orang awam di kedua-dua pihak tidak lama lagi akan dapat selamat kembali ke komuniti mereka dan mula membina semula kediaman mereka,” kata Biden.
Di bawah perjanjian itu, Israel perlu mengundurkan semua askarnya secara beransur-ansur dari selatan Lubnan dalam tempoh 60 hari itu.
Hizbullah pula akan menamatkan kehadiran ketenteraannya di kawasan sempadan di selatan Sungai Litani.
Tentera Lubnan pula bertangungjawab menjaga keselamatan di kawasan selatan Lubnan .
Amerika Syarikat akan memainkan peranan dalam membangunkan semula infrastuktur di Lubnan yang musnah akibat serangan Israel.
Semasa mengumumkan gencatan senjata di Lubnan itu, Presiden Biden juga berkata Amerika akan menerajui usaha baharu untuk menghasilkan gencatan senjata bagi Semenanjung Gaza. - AFP