GENEVA, 27 November– Lebih daripada 700 trak bantuan kini dalam perjalanan ke kawasan yang dilanda kebuluran di Sudan sebagai sebahagian daripada usaha secara besar-besaran setelah mendapat kelulusan dari kerajaan Sudan, kata jurucakap Program Makanan Sedunia (WFP) pada Selasa.
Sejak April 2023, tentera dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) terlibat dalam konflik yang menyebabkan kebuluran dan penyakit di seluruh negara.
Kedua-dua pihak dituduh menghalang penghantaran bantuan, dengan RSF mencuri bantuan dan tentera menghalang menerusi kelewatan birokrasi.
“Secara keseluruhan, trak-trak berkenaan akan membawa kira-kira 17,500 tan bantuan makanan, cukup untuk memberi makan 1.5 juta orang selama sebulan,” kata jurucakap WFP Sudan, Leni Kinzli dalam satu taklimat di Geneva.
“Kami telah menerima kira-kira 700 kelulusan dari kerajaan Sudan, melalui Suruhanjaya Bantuan Kemanusiaan, untuk memulakan penghantaran dan pengangkutan bantuan ke kawasan-kawasan yang sukar dijangkau,” tambahnya.
Kinzli juga menyatakan bahawa musim kering yang baru bermula turut menyokong usaha besar-besaran itu. Trak bantuan WFP akan dilabelkan dengan jelas dengan harapan dapat memudahkan akses ke kawasan yang terjejas.
Sebahagian bantuan tersebut akan dihantar ke 14 kawasan Sudan yang berdepan dengan ancaman kebuluran teruk termasuk kem Zamzam di wilayah Darfur.
Bantuan pertama tiba pada Jumaat lalu, menyebabkan sorakan kegembiraan daripada orang ramai yang terpaksa memakan kulit kacang tanah yang dihancurkan, yang biasanya diberi kepada haiwan, kata Kinzli.
Konvoi kedua menuju kem tersebut kini berada kira-kira 300 kilometer atau (186 batu) dari lokasi.
Pada Isnin lalu, ketua majlis kedaulatan Sudan, Abdel Fattah al-Burhan, mengumumkan bahawa beliau akan membenarkan lapangan terbang di El Obeid, Kadugli, dan Damazine, kawasan yang dikawal oleh tentera dan terpisah akibat pergolakan digunakan sebagai pusat kemanusiaan untuk agensi-agensi PBB bagi memudahkan penghantaran bantuan.-REUTERS.