fb fb fb fb fb

Lelaki tertua di dunia meninggal dunia pada usia 112 tahun

John Tinniswood, meninggal dunia pada usia 112 tahun/Foto Guinness World Records

LONDON, 26 November – Lelaki tertua di dunia, John Tinniswood, meninggal dunia pada usia 112 tahun di rumah jagaan di Southport, barat laut England, menurut Guinness World Records hari ini.

Tinniswood dilahirkan di Liverpool pada 26 Ogos 1912 dan diiktiraf menjadi lelaki tertua di dunia pada April lalu selepas kematian Juan Vicente Perez dari Venezuela yang berusia 114 tahun.

"Hari terakhir mendiang dikelilingi muzik dan kasih sayang," menurut kenyataan ahli keluarga mendiang sambil mengucapkan terima kasih kepada semua yang menjaganya selama ini.

Sepanjang hayatnya, Tinniswood menyifatkan umurnya yang panjang sebagai 'tuah semata-mata' dan menasihatkan supaya hidup secara sederhana.

"Jika terlalu banyak makan, minum, atau berjalan, anda akhirnya akan menderita," katanya.

Tinniswood berkhidmat dalam Royal Army Pay Corps semasa Perang Dunia Kedua dan kemudian bekerja di bahagian akaun syarikat minyak Shell dan BP.

Dia juga peminat setia kelab bola sepak Liverpool dan menggemari untuk menikmati hidangan fish and chips setiap Jumaat.

Wanita tertua di dunia kini ialah Tomiko Itooka dari Jepun, yang berusia 116 tahun. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN