fb fb fb fb fb

Seorang maut ketika letupan menggegar pangkalan udara Rusia di Crimea

LONDON, 10 Ogos- Letupan di sebuah pangkalan udara Rusia berhampiran pusat peranginan tepi laut di semenanjung Crimea meragut satu nyawa.

Moscow mendakwa letupan berlaku berpunca daripada kemalangan di stor penyimpanan peluru dan bukannya disebabkan sebarang serangan.

Menurut beberapa saksi, mereka mendengar sekurang-kurangnya 12 bunyi letupan sekitar jam 3.20 petang dari pangkalan udara Saky berhampiran Novofedorivka yang terletak di pantai barat semenanjung berkenaan.

Terdapat dakwaan bahawa kawasan itu pada Februari lalu digunakan sebagai salah satu tempat pelancaran untuk serangan Rusia.

Crimea, salah sebuah destinasi percutian bagi kebanyakan rakyat Rusia, setakat ini terhindar daripada sebarang pengeboman dan pertempuran artileri yang dihadapi kawasan lain di sebelah timur serta selatan Ukraine.

(Kepulan asap kelihatan dari pantai di Saky selepas beberapa siri letupan kedengaran dari arah
pangkalan udara tentera Rusia dekat Novofedorivka, Crimea/  AP)

Kementerian Pertahanan Rusia menegaskan bahawa kemalangan menyebabkan letupan di beberapa stor peluru penerbangan.

Pada mulanya, kementerian memaklumkan tiada sebarang kecederaan berlaku, tiada serangan dan tiada kerosakan peralatan penerbangan.

Menjawab soalan sama ada Ukraine bertanggungjawab untuk letupan itu, pembantu Presiden, Mykhailo Podolyak, memberitahu saluran televisyen dalam talian Dozhd, sudah tentunya tidak, sambil mempertikaikan apa kaitan pihaknya dengan hal itu.

"Moscow boleh menuduh Kyiv melintasi garisan merah jika Ukraine mengakui pihaknya menyerang wilayah yang dianggap Rusia sebagai miliknya," katanya.

Podolyak, yang juga penasihat Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, berpandangan letupan itu mungkin berpunca daripada kecuaian Rusia atau serangan partisan.

Menurut laporan agensi berita Rusia yang memetik sumber kementerian, hanya pelanggaran peraturan keselamatan mengakibatkan kebakaran yang dianggap punca utama letupan beberapa stor peluru di lapangan terbang Saky.

"Tiada tanda, bukti atau fakta menunjukkan kesan serangan yang disengajakan ke atas stor peluru," kata sumber itu.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Crimea mengesahkan terdapat seorang orang awam terbunuh dan lapan lagi cedera. - REUTERS

Media Baharu