fb fb fb fb fb

Suspek utama pembunuhan empat lelaki di Albuquerque ditahan polis

(FOTO REUTERS)

LOS ANGELES, 10 Ogos- Polis Amerika Syarikat yang memburu pembunuh empat lelaki di bandar New Mexico hari ini berkata mereka telah menahan suspek utama dan mendakwanya atas dua daripada pembunuhan itu.

Pembunuhan itu, tiga daripadanya berlaku dalam beberapa minggu lepas, telah menyebabkan panik kepada penduduk Islam di Albuquerque, dengan pemimpin masyarakat bercakap tentang kebimbangan yang semakin meningkat.

Tetapi penyiasat berkata menerusi maklumat daripada orang awam mereka telah mengenal pasti suspek utama iaitu seorang pendatang Afghanistan berusia 51 tahun, Muhammad Syed.

Kejayaan itu berlaku selepas detektif memohon bantuan orang ramai untuk membantu dalam kes itu, dengan mengeluarkan gambar kereta yang mereka percaya terlibat dalam pembunuhan tersebut.

“Kami mengesan kenderaan yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan seorang lelaki Islam di Albuquerque baru-baru ini,” kata Ketua Polis Albuquerque Harold Medina.

"Pemandu itu telah ditahan dan dia adalah suspek utama kami bagi pembunuhan itu."

The New York Times memetik Ahmad Assed, Presiden Pusat Islam New Mexico, berkata dia telah diberitahu suspek adalah seorang muslim Sunni yang marah kerana anak perempuannya berkahwin dengan seorang Muslim Syiah.

Pada sidang media, polis berkata mereka masih menyiasat motif pembunuhan itu.

Ketegangan meningkat di Albuquerque selepas penemuan satu mayat berhampiran pejabat yang menyediakan perkhidmatan kepada pelarian pada 5 Ogos.

Itu berlaku ketika polis sedang menyiasat kematian dua lelaki yang telah meninggal dunia dalam tempoh 10 hari sebelumnya.

Kedua-dua pembunuhan tersebut dikaitkan dengan Muhammad Syed.

Sepucuk pistol dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu ditemui semasa polis menggeledah rumahnya.

Kes pembunuhan pada November lalu juga kemungkinan ada kaitan dengan pembunuhan baru-baru ini.

Pembunuhan yang tidak berkesudahan telah menimbulkan kegusaran dalam masyarakat Islam di bandar itu.

"Kini, orang ramai mula panik," kata Tahir Gauba, Pengarah Hal Ehwal Awam Pusat Islam New Mexico, kepada Albuquerque Journal.

Presiden AS Joe Biden terdahulu menyatakan sokongan dan berikrar akan mengembalikan keamanan serta perpaduan kepada penduduk di Albuquerque.

“Saya marah dan sedih dengan pembunuhan ngeri empat lelaki Islam di Albuquerque,” ​​katanya di Twitter.

“Sementara kami menunggu siasatan penuh, doa saya bersama keluarga mangsa, dan pentadbiran saya berdiri teguh bersama masyarakat Islam.

"Serangan kebencian ini tidak mempunyai tempat di Amerika."- AFP


(Sidang media oleh Ketua Polis Albuquerque, Harold Medina / REUTERS)

Media Baharu