fb fb fb fb fb

Penggunaan senjata nuklear tidak bawa sebarang keamanan

Pengerusi Bersama Nihon Hidankyo, di sidang media/Foto REUTERS

 TOKYO, 11 Oktober-Senjata nuklear tidak membawa sebarang keamanan kata Pengerusi bersama Kumpulan Nihon Hidankyo yang merupakan kumpulan mangsa yang terselamat daripada letupan bom atom Hiroshima dan Nagasaki.

Kumpulan berkenaan memenangi Anugerah Nobel Keamanan pada Jumaat.

Jawatankuasa Nobel di Norway menganugerahkan kumpulan berkenaan anugerah berprestij itu kerana usaha yang dilakukan kumpulan tersebut untuk memberi kesedaran terhadap dunia yang bebas tanpa senjata nuklear melalui saksi yang masih hidup.

Toshiyuki Mimaki, salah seorang pengerusi bersama Nihon Hidankyo, yang tidak dapat menahan air mata di sidang media selepas pengumuman tersebut. berkata beliau tidak pernah menjangkakan peristiwa pengguguran bom atom di kedua-dua wilayah Jepun itu akan berlaku.

“Tidak pernah saya bermimpi perkara ini akan berlaku,” katanya.

Mimaki menjelaskan bahawa sesetengah pihak berpendapat senjata nuklear dapat mengekalkan keamanan dunia, namun beliau memberi amaran bahawa senjata ini juga boleh disalahgunakan oleh pengganas.

“Sebagai contoh, jika Rusia menggunakannya terhadap Ukraine, atau Israel terhadap Gaza, ia tidak akan berakhir di situ sahaja. Ahli politik perlu sedar tentang perkara ini,” katanya.

Nihon Hidankyo, yang diasaskan pada tahun 1956, dianggotai oleh mangsa-mangsa yang terselamat daripada serangan bom atom Hiroshima dan Nagasaki.

Mimaki menyeru generasi kedua mangsa bom atom dan masyarakat umum untuk turut serta dalam aktiviti-aktiviti keamanan.

“Saya berharap generasi kedua (mangsa bom atom) dan masyarakat umum akan turut serta dalam usaha keamanan, demi keamanan tanpa senjata nuklear,” tambahnya.

Mimaki juga menyamakan situasi kanak-kanak di Gaza dengan apa yang dialami Jepun pada akhir Perang Dunia Kedua.

“Di Gaza, kanak-kanak yang berdarah dipeluk oleh ibu bapa mereka. Ia seperti di Jepun 80 tahun yang lalu,” katanya.

"Kanak-kanak di Jepun kehilangan bapa mereka dalam perang dan ibu mereka akibat bom atom, mereka menjadi anak yatim."

Pada abad ke-20, Jepun mengalami tempoh peperangan yang kejam di Asia dan Perang Dunia Kedua, yang berakhir pada tahun 1945 selepas Amerika Syarikat menjatuhkan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki.

Bom atom pertama yang digugurkan Hiroshima pada 6 Ogos 1945, telah mengorbankan 140,000 nyawa.

Tiga hari kemudian, bom atom kedua dijatuhkan di Nagasaki, membunuh 74,000 orang, termasuk mereka yang terselamat dari letupan tetapi meninggal dunia akibat pendedahan radiasi.

Jepun mengumumkan menyerah kalah dalam Perang Dunia Kedua pada 15 Ogos 1945.

Datuk Bandar Hiroshima, Kazumi Matsui, turut mengutuk senjata nuklear sebagai "kejahatan mutlak".

“Hibakusha (mangsa yang terselamat) semakin tua dan semakin sedikit orang yang mampu memberi kesaksian tentang betapa sia-sianya memiliki bom atom serta kejahatan mutlaknya," katanya kepada wartawan pada hari Jumaat.

"Generasi akan datang mesti tahu bahawa apa yang berlaku bukan hanya tragedi untuk Hiroshima dan Nagasaki, tetapi juga tragedi yang melibatkan seluruh umat manusia yang tidak boleh diulangi."

Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, juga memuji anugerah ini menyifatkannya sebagai pengiktirafan penting terhadap usaha Nihon Hidankyo.

“Hakikat bahawa Hadiah Nobel Keamanan diberikan kepada organisasi ini, yang telah bertahun-tahun berusaha untuk penghapusan senjata nuklear, amat bermakna,” kata Ishiba kepada pemberita.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD