fb fb fb fb fb

Semua pihak akan dilayan adil dalam rundingan Gaza - Trump

Foto AFP

WASHINGTON, 4 Oktober - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berikrar bahawa semua pihak akan dilayan secara adil dalam rundingan Gaza.

Menerusi perkongsian video di platform Truth Social, Trump memuji persetujuan Hamas untuk membebaskan tebusan dan menyifatkannya sebagai “hari istimewa”.

“Saya hanya ingin memberitahu bahawa ini adalah hari yang sangat istimewa, mungkin tiada tandingan dalam banyak aspek. Tapi terima kasih kepada semua, dan terima kasih juga kepada negara-negara hebat yang membantu.

"Bantuan yang diberikan sangat besar. Semua orang bersatu mahu perang ini berakhir dan melihat keamanan di Asia Barat. Kita kini hampir mencapainya. Terima kasih semua," katanya.

Terdahulu, Trump menggesa Israel menghentikan segera serangan udara di Gaza selepas Hamas menyatakan kesediaan menerima sebahagian syarat dalam pelan damai yang dicadangkannya bagi menamatkan perang di Gaza. -AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM