NUNSPEET, 23 Disember -Sekurang-kurangnya sembilan individu cedera selepas sebuah kereta merempuh orang ramai semasa perarakan cahaya tahunan di Nunspeet, Belanda, malam tadi.
Media tempatan melaporkan, tiga mangsa berada dalam keadaan serius dan sedang menerima rawatan rapi.
Pemandu kereta, seorang wanita berusia 56 tahun dari Nunspeet, mengalami kecederaan ringan dan telah ditahan polis bagi membantu siasatan.
Polis memaklumkan setakat ini tiada petunjuk kejadian itu dilakukan secara sengaja, namun siasatan terperinci masih dijalankan.
“Buat masa ini, insiden ini tidak kelihatan disengajakan. Kami sedang menjalankan siasatan lanjut,” kata pegawai polis tempatan, Anne Coenen.
Pasukan kecemasan termasuk beberapa helikopter perubatan dikerahkan ke lokasi bagi memberikan bantuan segera kepada mangsa.
Susulan kejadian itu, pihak berkuasa tempatan mengumumkan perarakan cahaya berkenaan dihentikan serta-merta. -REUTERS