fb fb fb fb fb

Rakyat Albania baling bom petrol, protes Timbalan Perdana Menteri terlibat rasuah

Penunjuk perasaan membaling bom petrol ke arah bangunan kerajaan sebagai tanda protes terhadap dakwaan rasuah melibatkan Timbalan Perdana Menteri / REUTERS

TIRANA, 23 Disember -Protes tercetus di Albania pada Isnin susulan dakwaan Timbalan Perdana Menteri, Belinda Balluku terlibat kes rasuah.

Penunjuk perasaan membaling bom petrol ke arah bangunan kerajaan yang menempatkan pejabat Perdana Menteri, Edi Rama.

Mereka mendesak supaya Balluku meletakkan jawatan atas kesalahan tersebut.

Ketegangan politik di Albania memuncak sejak beberapa minggu lalu selepas Balluku dituduh menyalahgunakan dana kerajaan bagi memberi kelebihan kepada beberapa syarikat dalam projek infrastruktur berskala besar.

Balluku yang juga Menteri Infrastruktur menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai fitnah, selain menyatakan kesediaan untuk bekerjasama penuh dalam proses kehakiman.

Pejabat Pendakwaan Khas Albania yang menyiasat kes rasuah dan jenayah terancang telah memohon Parlimen menarik balik kekebalan Balluku bagi membolehkan beliau ditahan.

Bagaimanapun, belum jelas bila Parlimen akan mengundi permohonan itu memandangkan parti pemerintah pimpinan Rama menguasai majoriti kerusi.

Ketika protes berlangsung, pasukan polis antirusuhan mengawal keselamatan bangunan kerajaan, namun tidak bertindak menyuraikan penunjuk perasaan.

Seorang penunjuk perasaan, Arben Sulo berkata, rakyat sudah hilang sabar berikutan dakwaan penyelewengan melibatkan puluhan hingga ratusan juta euro tanpa sebarang tindakan tegas.

Balluku mengetuai Kementerian Infrastruktur yang mengurus projek bernilai ratusan juta euro termasuk pembinaan jalan raya, jambatan dan terowong. -REUTERS

FARIS IZZAT SHAHARUDIN