fb fb fb fb fb

Sekurang-kurangnya 23 maut dalam letupan pasar raya

Alfonso Durazo/ AFP

MEXICO CITY, 2 November - Sekurang-kurangnya 23 orang maut dalam satu letupan di sebuah pasar raya di utara Mexico pada Sabtu, menurut pegawai tempatan. Penyiasat percaya kejadian itu berpunca daripada kemalangan akibat kerosakan transformer elektrik.

Gabenor negeri Sonora, Alfonso Durazo menerusi rakaman video memaklumkan bahawa terdapat kanak-kanak bawah umur antara mangsa yang terkorban.

"Malangnya, sebahagian mangsa yang ditemukan adalah kanak-kanak. Setakat ini, 23 maut dan 11 lagi cedera.

"Saya telah mengarahkan supaya satu siasatan menyeluruh dan telus dijalankan bagi menentukan punca sebenar kejadian dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab," katanya sambil memaklumkan bahawa mangsa yang terselamat kini dirawat di beberapa hospital di bandar Hermosillo, lokasi kejadian berlaku.

Pejabat Pendakwa Raya Sonora dalam satu kenyataan menjelaskan, siasatan awal menunjukkan kejadian itu tidak disengajakan dan tertumpu kepada sebuah transformer yang terletak di dalam premis pasar raya tersebut.

"Sebaik sahaja pasukan bomba memberikan kebenaran untuk memasuki bangunan, barulah dapat dikenal pasti punca sebenar letupan di sebuah kedai Waldo’s di pusat bandar Hermosillo.

"Tiada siapa akan menghadapi kesedihan ini sendirian. Sejak detik awal kejadian, pasukan kecemasan, keselamatan dan kesihatan bertindak dengan profesional dan komited, berjaya mengawal keadaan serta menyelamatkan nyawa," kata Durazo.

Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan waris mangsa menerusi hantaran di platform X.

"Saya telah berhubung dengan Gabenor Sonora, Alfonso Durazo, untuk menawarkan bantuan yang diperlukan. Saya juga telah mengarahkan Setiausaha Dalam Negeri, Rosa Icela Rodríguez, supaya menghantar pasukan bantuan bagi menyalurkan sokongan kepada keluarga mangsa dan mereka yang cedera," katanya.

Menurut laporan media tempatan, beberapa pelanggan yang cuba berlindung di dalam pasar raya selepas letupan dikatakan terperangkap akibat api yang marak.

Akhbar El Universal melaporkan letupan berlaku kira-kira pukul 2.00 petang waktu tempatan dan perniagaan berhampiran menutup operasi bagi mengelak kebakaran merebak.

Pihak berkuasa tempatan turut menasihatkan orang awam supaya menjauhi kawasan kejadian serta membatalkan sambutan Hari Orang Mati (Day of the Dead) yang dijadualkan berlangsung pada hari sama.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI