GUANGZHOU, 2 November - Bandar Guangzhou di selatan China mencatatkan peningkatan ketara dalam trafik pengunjung dan kargo antarabangsa berikutan penganjuran Pameran Import dan Eksport China (Canton Fair) yang sedang berlangsung. Ia turut menarik ratusan ribu peserta serta pembeli dari seluruh dunia.
Edisi ke-138 Canton Fair, yang berlangsung dari 15 Oktober hingga 4 November, menghimpunkan kira-kira 32,000 pempamer dan 240,000 pembeli dari pelbagai negara.
Menurut data Jabatan Kastam Guangzhou, pelabuhan di bandar itu mengendalikan kira-kira 5,200 penerbangan masuk dan 800,000 ketibaan penumpang sepanjang Oktober, masing-masing meningkat 9.2 peratus dan 14.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Peningkatan jumlah pelancong antarabangsa turut mendorong pertumbuhan pesat dalam urusan tuntutan bayaran balik cukai bagi penumpang yang berlepas dari Guangzhou.
Pihak berkuasa tempatan telah menyediakan saluran khas (green channel) bagi memudahkan proses bayaran balik cukai dan meningkatkan integrasi data antara jabatan kastam serta agensi bayaran balik cukai, bagi mempercepatkan kelulusan tuntutan penumpang.
"Kami melaksanakan model pengawasan yang mudah iaitu 'satu borang bagi setiap bungkusan'. Ini bermakna setiap borang permohonan bayaran balik cukai dikaitkan dengan satu bungkusan dengan cop.
"Selagi bungkusan masih utuh, pihak kastam boleh mengesahkan barangan dengan cepat, sekali gus meningkatkan kecekapan prosedur pengesahan kastam sebanyak kira-kira 70 peratus," kata Timbalan Pengarah Jabatan Penyeliaan Pos Kastam Guangzhou Zhang Xiaojuan.
Sepanjang Oktober sahaja, Kastam Guangzhou telah menyelia 72,000 tan barangan kargo udara bagi urusan import dan eksport di pelabuhan Guangzhou, meningkat 5.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Bagi memenuhi permintaan eksport barangan yang ditempah semasa pameran tersebut, Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Guangzhou Baiyun turut melaksanakan sistem pelepasan kastam pintar 24 jam bagi barangan eksport udara, membolehkan semua prosedur diselesaikan dalam tempoh satu hari.- REUTERS