HANOI, 2 November - Hujan lebat luar biasa hingga menyebabkan banjir di kawasan tengah Vietnam minggu ini telah mengorbankan 35 orang, manakala lima lagi masih hilang, menurut pegawai pengurusan bencana pada Ahad.
Hujan lebat melanda wilayah pantai Vietnam sejak hujung minggu lalu, merekodkan taburan hujan mencecah 1.7 meter dalam tempoh 24 jam antara Ahad dan Isnin lalu.
Menurut laporan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Tembok Penahan Vietnam (VDDMA), kesemua 35 kematian dilaporkan berlaku di wilayah Hue, Da Nang, Lam Dong dan Quang Tri.
Kawasan Bandar Purba Hoi An yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, turut ditenggelami air paras pinggang selepas sungai utama di bandar itu melimpah ke paras tertinggi dalam tempoh 60 tahun.
"Semua orang masih terkejut selepas banjir. Penduduk memang bersiap sedia menghadapi banjir, tetapi mereka tidak menyangka paras air akan naik setinggi ini.
"Banyak rumah tidak sempat bersedia, menyebabkan banyak barangan rosak. Semua orang berasa tidak berdaya melihat kerosakan yang teruk," kata penduduk Hoi An, Chuong Nguyen yang berusia 43 tahun.
Menurut VDDMA , lebih 16,500 rumah kini ditenggelami air, manakala lebih 40,000 ternakan dan unggas hanyut, serta lebih 5,300 hektar tanaman ditenggelami banjir.
Awal minggu ini, Kementerian Alam Sekitar Vietnam memaklumkan lebih 100,000 rumah telah dinaiki air dan lebih 150 kejadian tanah runtuh dilaporkan.
Pakar sains menjelaskan bahawa perubahan iklim akibat aktiviti manusia menjadikan kejadian cuaca ekstrem seperti ribut dan banjir semakin dahsyat dan berisiko tinggi.
Vietnam terletak di salah satu kawasan taufan tropika paling aktif di dunia dan sering mengalami hujan lebat antara bulan Jun hingga September.
Secara purata, 10 taufan atau ribut tropika melanda Vietnam setiap tahun, namun sehingga kini negara itu telah mengalami 12 kejadian pada tahun 2025 sahaja.
Bencana alam, terutamanya ribut, banjir dan tanah runtuh, telah mengorbankan 187 orang atau menyebabkan mereka hilang di Vietnam dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, dengan kerugian ekonomi dianggarkan melebihi AS$610 juta, menurut data kerajaan.- AFP