CEBU, 1 Oktober – Sekurang-kurangnya 20 orang maut dan berpuluh-puluh orang lagi cedera selepas gempa bumi kuat bermagnitud 6.9 melanda Filipina, lapor New York Times pada Rabu yang memetik kenyataan seorang pegawai kerajaan.
Gempa bumi itu berlaku di perairan luar pesisir Cebu City, kira-kira pukul 9.55 malam waktu tempatan (1400 GMT) pada Selasa, menyebabkan gangguan bekalan elektrik serta kerosakan infrastruktur di kawasan terjejas.
Menurut jurucakap bandar Cebu, 20 kematian telah disahkan dan sekurang-kurangnya 37 orang dilaporkan cedera.
"Empat bangunan runtuh, tiga bangunan kerajaan rosak dan enam jambatan serta satu laluan utama tidak boleh digunakan", menurut laporan itu.
Sementara itu, agensi pemantauan gempa mencatatkan kedalaman gempa kira-kira 10 kilometer, dengan beberapa gegaran susulan direkodkan, termasuk yang paling kuat berukuran magnitud 6.
Tiada ancaman tsunami dikeluarkan oleh agensi berkaitan.
Ketua Polis Cebu, Kolonel Enrico Figueroa, turut memaklumkan beberapa transformer elektrik yang dipasang pada tiang meletup ketika kejadian berlaku, turut menyebabkan gangguan bekalan elektrik secara meluas.
Agensi seismologi Filipina Phivolcs memberi amaran tentang gegaran susulan dan kerosakan akibat gegaran luar pesisir.
"Arus kuat dan perubahan paras air laut secara mendadak dijangka berlaku," menurut kenyataan Phivolcs.
"Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada terhadap sebarang gelombang laut luar biasa", katanya.
Filipina terletak di kawasan "Lingkaran Api Pasifik", zon seismik aktif yang kerap mengalami gempa bumi dan letusan gunung berapi.
Negara itu dilanda dua gempa kuat pada Januari lalu dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Pada tahun 2023, gempa bermagnitud 6.7 di kawasan pesisir turut meragut lapan nyawa.- REUTERS