fb fb fb fb fb

Majlis Keselamatan PBB lulus cadangan AS ganda saiz misi keselamatan di Haiti

FOTO REUTERS

NEW YORK, 1 Oktober - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan cadangan Amerika Syarikat untuk menggandakan saiz misi keselamatan antarabangsa di Haiti yang berdepan masalah kekurangan dana dan tenaga kerja.

Resolusi berkenaan bagaimanapun mencetuskan kritikan daripada China dan Rusia yang mendakwa Washington gagal melaksanakan tanggungjawab dalam misi terdahulu.

Haiti kini berada dalam krisis apabila kumpulan bersenjata menguasai hampir keseluruhan ibu negara Port-au-Prince, menyebabkan 1.3 juta penduduk hilang tempat tinggal.

UNICEF turut melaporkan separuh daripada anggota kumpulan bersenjata di negara itu adalah kanak-kanak.

“Perkembangan drastik keganasan geng telah mengancam kewujudan negara Haiti,” kata Duta AS ke PBB, Mike Waltz.

Daripada 15 anggota Majlis Keselamatan, 13 mengundi menyokong resolusi yang dikemukakan Amerika Syarikat bersama Panama, manakala Rusia, China dan Pakistan berkecuali.

Misi keselamatan baharu itu masih bergantung kepada sumbangan sukarela, namun kepimpinannya melibatkan negara penyumbang bersama Amerika Syarikat dan Kanada.

Kenya yang mengetuai misi terdahulu mengakui berdepan masalah logistik serta kekurangan anggota, malah kenderaan yang dibekalkan AS dilapor terpakai dan kerap rosak.

Presiden Kenya, William Ruto, menyatakan kesediaan untuk terus menyertai misi baharu, namun menegaskan misi sebelum ini tidak mempunyai skala dan sumber mencukupi.

Rusia dan China pula mengkritik Amerika Syarikat kerana gagal menyalurkan dana mencukupi serta tidak membendung aliran senjata ke Haiti.

China menyatakan tidak untuk menggunakan kuasa veto atas dasar menghormati rayuan antarabangsa, namun tetap menyuarakan kebimbangan terhadap prospek pelaksanaan misi baharu itu.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE