MANILA, 1 Oktober - Sekurang-kurangnya 22 maut selepas gempa bumi kuat berukuran 6.9 magnitud melanda Filipina.
Menurut pegawai kerajaan, ia menjadikannya antara bencana paling dahsyat melanda negara itu tahun ini.
Foto yang dikongsikan pihak berkuasa perbandaran Daanbantayan di wilayah Cebu menunjukkan anggota penyelamat memeriksa struktur bangunan yang rosak akibat gegaran berkenaan.
Gempa bumi yang berlaku di perairan berhampiran Cebu City di wilayah Visayas Tengah, sebelum pukul 10.00 malam waktu tempatan pada Selasa, menyebabkan gangguan bekalan elektrik serta kerosakan pada beberapa bangunan di kawasan terbabit.
Timbalan Datuk Bandar San Remigio, Alfie Reynes, mengesahkan angka korban seramai 22 orang dalam temu bual bersama stesen radio DZMM.
Seorang lagi pegawai kerajaan memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya 21 kematian dilaporkan di wilayah Cebu, sambil menambah proses pengesahan sedang dijalankan terhadap jumlah sebenar mangsa terkorban.- REUTERS