fb fb fb fb fb

Keyakinan pengeluar utama Jepun meningkat suku ketiga, ekonomi berdaya tahan

Shibuya Crossing di Tokyo/ REUTERS

TOKYO, 1 Oktober - Keyakinan dalam kalangan pengeluar utama Jepun meningkat sedikit bagi tempoh tiga bulan berakhir September, menurut tinjauan bank pusat pada Rabu.

Ia menandakan ekonomi berorientasikan eksport negara itu masih mampu menampan kesan tarif Amerika Syarikat (AS).

Hasil tinjauan tersebut mengekalkan jangkaan pasaran bahawa Bank of Japan (BoJ) mungkin menaikkan kadar faedah sekali lagi seawal bulan ini.

Indeks utama yang mengukur keyakinan perniagaan pengeluar besar menunjukkan peningkatan positif kepada 14 pada September berbanding 13 pada Jun. Ia mencatat paras tertinggi sejak Disember 2024. Bacaan itu berada bawah unjuran pasaran yang menjangkakan paras positif 15.

Bagi sektor bukan pembuatan utama, indeks kekal pada paras positif iaitu 34 pada September, tidak berubah berbanding Jun dan sejajar dengan jangkaan pasaran.

Namun, tinjauan menunjukkan pengeluar dan syarikat bukan pengeluar utama menjangkakan keadaan perniagaan akan merosot dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Tinjauan 'tankan' merupakan antara data utama yang akan diteliti Bank of Japan dalam membuat keputusan sama ada untuk menaikkan kadar faedah kepada 0.75 peratus daripada 0.5 peratus pada mesyuarat seterusnya pada 29 hingga 30 Oktober ini.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI