GAZA, 1 Oktober – Jumlah korban rakyat Palestin di Gaza meningkat kepada lebih 66,000 orang, manakala 168,536 lagi cedera sejak tercetusnya konflik antara Hamas dan Israel pada 7 Oktober 2023, menurut kenyataan rasmi Kementerian Kesihatan Gaza.
Menurut kenyataan kementerian itu, dalam tempoh 24 jam lalu, serangan berterusan tentera Israel telah meragut 42 nyawa dan mencederakan lagi 190 orang.
Antara yang terbunuh melibatkan lima mangsa yang sedang menunggu bantuan kemanusiaan diagihkan.
Dalam perkembangan berkaitan, sumber daripada Hamas memaklumkan kumpulan itu telah menerima cadangan damai baharu dari Amerika Syarikat melalui perantara Qatar dan Mesir dalam satu pertemuan di Doha.
Hamas kini sedang meneliti cadangan tersebut "dengan niat yang ikhlas" sebelum mengeluarkan maklum balas rasmi.
Cadangan damai itu diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam satu sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, di White House pada Isnin.
Pelan damai yang mengandungi 20 perkara utama itu merangkumi gencatan senjata serta-merta dan pembebasan semua tahanan Israel dalam tempoh 72 jam.
Trump turut menegaskan Netanyahu menyatakan sokongan terhadap pelan tersebut, selain menerima sokongan daripada beberapa negara serantau termasuk Mesir dan Qatar.-REUTERS