fb fb fb fb fb

Hamas mulakan rundingan dalaman teliti pelan damai Gaza oleh Trump - Sumber

Foto fail/ AFP

GAZA, 1 Oktober - Hamas memulakan rundingan dan perbincangan dalaman bersama beberapa puak Palestin lain bagi meneliti pelan damai yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk menamatkan serangan di Semenanjung Gaza, menurut satu sumber Hamas pada Selasa, lapor Xinhua.

Sumber yang enggan dinamakan itu memberitahu Xinhua yang pengantara dari Qatar dan Mesir meneliti pelan itu sebelum membentangkannya kepada pimpinan Hamas dan puak lain.

Menurutnya, proses perbincangan ini mungkin akan mengambil masa kerana dokumen yang dikemukakan itu dijangka menjadi asas bagi sebarang perjanjian damai yang berpotensi, meskipun terdapat percanggahan dalam kenyataan terkini Trump serta apa yang digambarkan sebagai "pendirian yang berubah-ubah setiap hari."

Sumber itu turut menyatakan yang Hamas terbuka kepada sebarang cadangan, selagi tidak mengorbankan prinsip kebangsaan rakyat Palestin.

Namun begitu, beliau menyifatkan pelan Trump itu sebagai "berat sebelah kepada Israel" dan mengandungi "syarat yang tidak munasabah" yang bertujuan melemahkan Hamas dari segi politik dan ketenteraan.

Menurutnya lagi, cadangan Washington itu tidak mencerminkan apa yang dibincangkan bersama negara Arab, malah lebih selari dengan pendirian Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.

Pada Isnin, Trump dalam sidang media bersama Netanyahu menyatakan yang pelan itu mengandungi gencatan senjata serta-merta, pembebasan tahanan dalam tempoh 72 jam sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin, pelucutan senjata Hamas dan pengunduran berperingkat tentera Israel.

Beliau juga berkata cadangan itu turut merangkumi penubuhan satu "majlis damai antarabangsa" untuk mengurus fasa peralihan dan pembinaan semula Gaza.

Reaksi awal daripada puak Palestin adalah berhati-hati, terutamanya berkenaan dengan klausa yang boleh membuka jalan kepada penyerahan pentadbiran Gaza kepada entiti luar atau yang mungkin menggugat asas perjuangan rakyat Palestin.

Penyokong antarabangsa pelan itu menyatakan yang ia berpotensi untuk mengakhiri hampir dua tahun konflik di Gaza, yang menyebabkan kepada krisis kemanusiaan dan ekonomi yang teruk di wilayah berkenaan.- BERNAMA-XINHUA

 

ROSLINA BINTI DIN