fb fb fb fb fb

Sekurang-kurangnya 17 mati, 59 cedera letupan di barat Ghana

FOTO AFP

ACCRA, 21 Januari- Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh dan 59 lagi cedera dalam kejadian letupan yang memusnahkan sebahagian kawasan kejadian di bandar barat Ghana selepas trak membawa bahan letupan bertembung dengan sebuah motosikal.

“Sejumlah 17 orang yang tidak bernasib baik disahkan terbunuh dan 59 lagi yang cedera diselamatkan,” menurut Menteri Penerangan, Kojo Oppong Nkrumah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, memetik laporan Agensi Berita AFP.

Sementara itu, Reuters melaporkan letupan besar itu memusnahkan ratusan bangunan dan mengorbankan sebilangan penduduk setempat.

Video yang disiarkan di media sosial menunjukkan kawah besar di dalam tanah berikutan letupan di wilayah Barat luar bandar Ghana pada Khamis.

Rakaman itu menunjukkan kerosakan teruk pada kediaman berhampiran.

Letupan berlaku di Apiate, antara bandar Bogoso dan Bawdie, apabila sebuah trak yang membawa bahan letupan ke lombong emas bertembung dengan sebuah motosikal.

Trak itu membawa bahan letupan milik sebuah syarikat bernama Maxam, yang dalam perjalanan ke lombong emas Chirano.

Lombong emas Chirano, dikendalikan oleh Kinross yang berpangkalan di Toronto.

Sementara itu Presiden Ghana Nana Akufo-Addo menerusi satu hantaran di Twitter  menyebut "ini adalah insiden yang benar-benar tragis dan bagi pihak kerajaan saya mengucapkan takziah kepada semua anak kapal dan salam  takziah kepada keluarga si mati."

 

Media Baharu