fb fb fb fb fb

Sekurang-kurangnya 11 maut dalam kemalangan di India

Foto hiasan

KHANDWA, 2 Oktober – Sekurang-kurangnya 11 orang terkorban selepas sebuah traktor-troli yang membawa penumpang terbalik dan terjunam ke dalam sebuah kolam di daerah Khandwa, Madhya Pradesh, tengah India.

Mangsa yang terkorban termasuk kanak-kanak. Semua penumpang tersebut dalam perjalanan ke sebuah festival keagamaan.

Menurut Ketua Daerah Khandwa Rishav Gupta, tiga orang berjaya diselamatkan, termasuk seorang yang mengalami kecederaan serius dan sedang menerima rawatan.

"Seramai 11 orang yang sebelum ini dilaporkan hilang di sini telah ditemui maut, dan mayat mereka telah dipindahkan ke Pandhana untuk proses bedah siasat. Tiga lagi individu telah dirujuk ke Khandwa", katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri India, Narendra Modi, menerusi satu ciapan di platform media sosial X menyatakan rasa dukacita atas insiden yang mengakibatkan kehilangan nyawa tersebut.

Beliau turut mengumumkan pemberian sagu hati kepada keluarga mangsa yang terjejas dalam kemalangan itu.

"Fikiran saya bersama mereka yang terjejas dan keluarga mereka pada masa sukar ini. Saya mendoakan agar mereka yang cedera cepat sembuh.

"Sebagai tanda simpati, bayaran ex-gratia sebanyak Rs. 2 lakh (kira-kira USD2,253) akan diberikan kepada waris terdekat mangsa yang terkorban, manakala mangsa yang cedera akan menerima Rs. 50,000 (kira-kira USD563). Bayaran ini akan disalurkan melalui Dana Bantuan Kebangsaan Perdana Menteri (PMNRF)", katanya.

ROSLINA BINTI DIN