fb fb fb fb fb

Bot bawa bantuan ke Gaza berlabuh di Cyprus, selepas dipintas Israel

Foto REUTERS

LARNACA, 3 Oktober – Sebuah bot dari kumpulan yang menghantar bantuan ke Gaza dan telah dipintas oleh tentera Israel, berlabuh di pelabuhan Larnaca, Cyprus pada Jumaat, menurut kenyataan kerajaan pulau Mediterranean itu.

Jurucakap kerajaan Cyprus memaklumkan melalui platform X bahawa bot tersebut yang membawa 21 warga asing, dibenarkan berlabuh atas sebab kemanusiaan dan keperluan mengisi minyak.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan identiti bot tersebut atau mengesahkan sama ada ia merupakan salah satu daripada kapal dalam flotila yang dihalang oleh Israel baru-baru ini.

Tambahnya, Cyprus mendaftarkan kesemua penumpang bot berkenaan serta menyediakan keperluan asas dan bantuan konsular.

Sementara itu, Israel menerima kecaman dan bantahan antarabangsa selepas bertindak memintas lebih 40 kapal yang membawa aktivis dan bantuan ke Gaza serta menahan lebih 450 aktivis dari pelbagai negara termasuk Itali, Sepanyol dan Sweden. Turut ditahan ialah aktivis iklim terkenal, Greta Thunberg.

Israel memaklumkan semua aktivis terbabit akan dihantar pulang.

Manakala, kerajaan Itali memaklumkan aktivis dari negara itu dijangka dihantar pulang ke beberapa ibu negara Eropah melalui penerbangan sewa khas pada Isnin dan Selasa. Empat ahli Parlimen Itali yang turut ditahan telah dibebaskan dan dijadualkan pulang ke Rom pada Jumaat.-REUTERS

ROSLINA BINTI DIN