fb fb fb fb fb

Letupan di loji penapisan minyak di California selatan

Foto REUTERS

WASHINGTON, 3 Oktober – Satu letupan dilaporkan berlaku di loji penapisan minyak Chevron di El Segundo, California Selatan, menyebabkan kepulan asap tebal menjulang ke udara.

Rakaman video yang dikongsi penduduk menunjukkan bola api besar meletus dari loji berkenaan, diiringi dentuman kuat yang berlarutan.

Menurut Datuk Bandar El Segundo, Chris Pimentel, tiada kecederaan dilaporkan setakat ini, manakala punca letupan masih dalam siasatan.

Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak dan tiada arahan pemindahan dikeluarkan.

Gabenor California, Gavin Newsom, dimaklumkan mengenai kejadian itu dan pihaknya kini menyelaras tindakan lanjut bersama agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan awam.

Loji Chevron di El Segundo merupakan yang terbesar di Pantai Barat Amerika Syarikat, dengan keupayaan memproses lebih 276,000 tong minyak mentah setiap hari, menurut laman web rasmi syarikat itu.- AFP

ROSLINA BINTI DIN