ROM, 3 Oktober – Protes besar-besaran di seluruh Itali yang dianjurkan bagi menyokong flotila bantuan ke Gaza melumpuhkan perkhidmatan kereta api negara itu dan mencetuskan kekacauan kepada para penumpang, khususnya di Rom dan Milan, pada hari kedua siri demonstrasi.
Ia dilancarkan oleh Kesatuan Sekerja Asas (USB) dan Kesatuan Sekerja Persekutuan Umum Itali (CGIL) sehari selepas tunjuk perasaan besar-besaran di beberapa bandar di seluruh dunia termasuk Milan dan Rom.
Di ibu kota Itali, kira-kira 10,000 penunjuk perasaan berarak dari Colosseum sebagai simbol solidariti terhadap rakyat Gaza.
Pada Jumaat, kumpulan penunjuk perasaan kembali memenuhi jalan-jalan utama di Rom dan berarak menuju ke dataran di luar Stesen Kereta Api Termini sehingga mengakibatkan perkhidmatan kereta api tergendala serta mengalami kelewatan sehingga 80 minit.
Ketua Kesatuan CGIL, Maurizio Landini, berkata kawasan tersebut dipenuhi orang ramai bagi membuktikan nilai kemanusiaan dan menghentikan genosid serta mengambil tindakan terhadap isu yang telah diabaikan atau disokong oleh kerajaan dan negara.
Selain di Rom, gangguan turut dilaporkan di Milan dan bandar-bandar lain. Syarikat kereta api kebangsaan Trenitalia memberi amaran bahawa protes ini akan berlanjutan sehingga pukul 8.59 malam waktu tempatan.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Matteo Salvini berkata sejuta rakyat Itali terjejas akibat kejadian itu, manakala pelabuhan Livorno turut disekat.
Protes berlaku selepas empat ahli parlimen Itali yang ditahan Israel kerana menyertai flotila bantuan Gaza dibebaskan dan dijangka tiba di Rom.
Perdana Menteri Giorgia Meloni mengecam protes itu sebagai tidak wajar dan menegaskan cuti panjang tidak sesuai untuk revolusi, walaupun kerajaan menghantar kapal tentera laut bagi bantuan kemanusiaan.
Pendekatan Meloni yang tidak mengkritik Israel secara terbuka mencetuskan ketegangan dan gelombang protes di Itali.- AFP