fb fb fb fb fb

Indonesia gantung lesen TikTok kerana gagal serah data

Foto REUTERS

JAKARTA, 3 Oktober - Kerajaan Indonesia telah menggantung lesen operasi aplikasi perkongsian video TikTok selepas platform itu didakwa enggan menyerahkan data berkaitan protes anti-kerajaan yang berlaku baru-baru ini, menurut Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital pada Jumaat.

Indonesia merupakan negara merekodkan pengguna TikTok kedua tertinggi di dunia, iaitu lebih 100 juta pengguna aktif.

Kementerian itu menerusi kenyataan berkata lesen operasi aplikasi tersebut telah “digantung sementara” kerana gagal menyerahkan data penuh mengenai aktiviti ciri siaran langsung (live) semasa protes yang tercetus pada Ogos lalu.

“Langkah ini menunjukkan ketegasan kerajaan selepas TikTok hanya memberikan data secara separa,” kata Ketua Pengarah Pengawasan Ruang Digital Kementerian, Alexander Sabar.

Menurut kerajaan Indonesia, pihaknya telah meminta TikTok menyerahkan maklumat trafik serta data berkaitan “kewangan aktiviti siaran langsung” daripada akaun-akaun yang disyaki terlibat dalam perjudian dalam talian.

TikTok diberikan tempoh sehingga 23 September lalu untuk menyerahkan maklumat tersebut, namun gagal berbuat demikian.

Sementara itu, jurucakap TikTok berkata syarikat itu menghormati undang-undang di semua negara operasinya dan kini sedang bekerjasama rapat dengan kementerian berkenaan, sambil menekankan komitmen mereka terhadap privasi pengguna serta keselamatan komuniti.

Bagaimanapun, pemerhatian pada Jumaat malam mendapati fungsi siaran langsung TikTok masih boleh diakses di Indonesia.

TikTok bukan sahaja berdepan isu data, malah turut menghadapi beberapa tindakan daripada kerajaan Indonesia sebelum ini.

Langkah kerajaan Indonesia itu dilihat sebagai satu isyarat bahawa Indonesia mahu syarikat teknologi asing lebih bertanggungjawab terhadap undang-undang tempatan dan isu keselamatan siber.-AFP

ROSLINA BINTI DIN