DHAKA, 3 Oktober – Ribuan umat Islam berhimpun di Dhaka pada Jumaat bagi membantah tindakan Israel memintas flotila bantuan ke Gaza dan menahan lebih 450 aktivis asing yang berada di atas kapal-kapal tersebut.
Protes yang berlangsung selepas solat Jumaat itu, diketuai oleh pertubuhan tempatan menyaksikan laungan slogan anti-Israel, kibaran bendera Palestin dan sepanduk yang mengecam tindakan ketenteraan Israel terhadap misi bantuan kemanusiaan.
Penganjur protes turut mendesak Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan status semasa aktivis yang ditahan oleh pihak berkuasa Israel.
Dalam perkembangan berkaitan, tindakan Israel memintas kapal terakhir flotila, Marinette, berlaku kira-kira 79km dari Gaza. Kesemua 42 kapal dalam misi bantuan Global Sumud Flotilla kini telah dipintas dan dibawa ke Pelabuhan Ashdod.
Rakaman langsung menunjukkan tentera Israel menaiki kapal pada waktu malam dengan kelengkapan taktikal, manakala penumpang dilihat tidak bersenjata dan mengenakan jaket keselamatan.-REUTERS